Amirudin Shari

SHAH ALAM – Menteri Besar, Amirudin Shari membentangkan Belanjawan 2020 Selangor bernilai RM2.33 bilion di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, jam 3 petang hari ini.

Menurut Amirudin, belanjawan Kerajaan Negeri Selangor itu menyaksikan sebanyak RM1.22 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus manakala RM1.133 bilion pula bagi belanja pembangunan.

“Berdasarkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan terus berdaya tahan, Kerajaan Negeri mencadangkan agar anggaran sebanyak RM2.333 bilion bagi Belanjawan Selangor 2020.

“Daripada jumlah tersebut, RM1.2 bilion atau 51.44 peratus diperuntukkan bagi Belanja Mengurus dan RM1.133 bilion atau 48.56 peratus untuk Belanja Pembangunan,” katanya ketika berucap membentangkan Belanjawan Selangor 2020 di bangunan DUN Selangor, di sini, hari ini.

Belanjawan Selangor 2020
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bersama ahli-ahli dewan undangan negeri yang lain berdoa sebelum pembentangan Belanjawan Selangor 2020 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 01 NOVEMBER 2019

Amirudin selaku ADUN Sungai Tua juga mengakui bahawa masalah defisit tidak dapat dielakkan daripada belanjawan Selangor kali ini yang membabitkan sebanyak RM1.33 juta.

“Ia berpunca daripada peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan.

“Jumlah defisit ini menyaksikan penurunan berbanding jumlah defisit tahun 2019 yang iaitu RM360 juta,” katanya.

Amirudin berkata, tema bagi Belanjawan Selangor 2020 kali ini ialah Selangor Unggul, Kehidupan Bermartabat yang berteraskan lima strategi.

Antara lima strategi belanjawan kali ini ialah Menjana Pertumbuhan dan Pemberdayaan Ekonomi Negeri, Merencana Agenda Pendidikan Unggul, Mewujudkan Selangor yang Selamat, Sihat dan Sejahtera, Menjamin Kelestarian Alam Sekitar dan Menjuarai Kemampanan Sosial.

“Kelima-lima strategi ini adalah suatu saranan Wasail wa Mukamillat sebagaimana yang diungkapkan filsafat perundangan Maqasid al Shariah, yakni pendekatan ke arah kesempurnaan pelaksanaan matlamat utama belanjawan yang telah digariskan,” katanya. – MalaysiaGazette