Timbalan Pengerusi Institut Darul Ensan (IDE), Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berucap pada sidang media berkenaan analisis Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pejabat IDE, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 01 NOVEMBER 2019

SHAH ALAM – Calon Gerakan dan bebas tidak akan mempunyai harapan di Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 16 November nanti, kata Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Jelasnya, pengundi di kawasan itu hanya akan mempertimbangkan dua parti utama sahaja yang bertanding sama ada Pakatan Harapan atau Barisan Nasional (BN).

“Yang lain jumlahnya 2 peratus tidak akan sampai dapat undi. Itu jelas sama ada Pakatan Harapan atau BN sahaja, oleh itu Gerakan dan sebagainya angkanya sangat rendah,” katanya di Pejabat IDE.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang  peluang Gerakan yang meletakkan Timbalan Setiausaha Agungnya, Wendy Subramaniam untuk bertanding.

Perkembangan terbaharu pula menyaksikan Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM)  mengumumkan Datuk Shamsubahrin Ismail akan bertanding atas tiket bebas.

Calon daripada Pakatan Harapan adalah Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini sementara itu BN mempertaruhkan Wee Jeck Seng (MCA).

Membentangkan analisis awal PRK Tanjung Piai, Mohamad Redzuan berkata isu nasional yang menjadi keutamaan pengundi di situ adalah kenaikan kos sara hidup dan peluang pekerjaan.

Sebanyak 85 peratus yang mengeluh tentang keadaan ekonomi negara dan membuat perbandingan tentang perbezaan pentadbiran BN dan Pakatan Harapan khususnya dari aspek bantuan kepada rakyat yang diubahsuai.

Menurutnya lagi, manakala 53 peratus tentang peluang pekerjaan yang menjadi faktor ramai bekerja di luar daripada Tanjung Piai.

“Oleh masalah peluang pekerjaan di kawasan itu justeru ramailah yang bekerja di luar, ada di Johor Bharu ada di Singapura.

“Ada yang mahu diwujudkan kembali skim-skim bantuan kepada pekebun dan nelayan juga,” katanya lagi.

Isu setempat pula yang disuarakan kepada IDE menerusi tinjauan tiga hari (18 hingga 20 Oktober) terhadap 1,518 responden di sana adalah isu jenayah, masalah pengurusan sampah, dan pengangkutan awam selain infrastruktur yang patut ditambah baik.

Melihat respon penduduk apabila ditanya tentang prestasi Pakatan Harapan sama ada peringkat pusat mahupun negeri, majoriti tidak menghukum sebaliknya lebih memberikan masa kepada parti itu untuk membuktikan kemampuan berkhidmat kepada rakyat.

“Ada ditanya tentang itu, mereka lebih memilih untuk tunggu dan lihat,”katanya.

Selain itu, parti yang bertanding ujarnya perlu mempengaruh 13 peratus pengundi yang hanya akan membuat pilihan mereka pada 16 November, berbanding 69 peratus yang telah membuat keputusan lebih awal.

“Selain itu 5 peratus yang bat keputusan seminggu sebelum pengundian, 12 peratus yang buat selepas penamaan calon.Jadi kena cari yang belum buat keputusan ini untuk dapat lebih peluang,”tambah beliau.-MalaysiaGazette