Ketua Pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar (kiri) bersama Ketua Pasukan JDT Haris Harun (kanan) memegang Piala Malaysia 2019 pada sidang media sempena Perlawanan Akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 02 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah, Hariss Harun merupakan antara pemain yang paling senior dalam skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas pemergian Safiq Rahim.

Bintang kelahiran Singapura itu kini diberikan lilitan kapten Harimau Selatan itu dan telah menjulang kesemua piala domestik dengan JDT termasuk Piala AFC pada tahun 2015.

Namun dia tidak pernah menjulang Piala Malaysia dengan JDT kerana ketika pasukan itu menjulang piala pertama dalam sejarah kelab mereka dua tahun lalu, Hariss dipinjamkan ke kelab luar.

Hariss Harun ketika itu menyertai Ce L’Hospitale di Divisyen 2 Sepanyol untuk menimba pengalaman.

Tetapi malam ini, kapten JDT itu berpeluang untuk menambah satu lagi koleksi piala dengan JDT sekaligus melengkapkan kesemua koleksi piala domestik yang ditawarkan dalam Liga Bola Sepak Malaysia.

Hariss mengakui prestij piala keramat, Piala Malaysia dan menganggap ia bukan misi mudah kerana kesemua pemain pasti mahu menjulang piala tersebut pada malam final.

“Apabila beraksi di final, sudah pasti setiap pemain mahukan kemenangan. Ini tiada kaitan dengan kemampuan individu semata-mata, ia lebih kepada menuntut kerja secara berpasukan.”

“Matlamat kami pada final adalah mahu menang dan mahu beraksi pada aksi final tanpa sebarang masalah,” katanya pada sidang media semalam.

Hariss Harun turut memberitahu dia mengenali gaya dan taktikal Aidil Sharin Sahak yang pernah menjadi jurulatihnya di Home United.

“Apa yang Kedah sedang mainkan sekarang adalah gaya taktikal dan permainan beliau (Aidil Sharin),” katanya yang menganggap aksi final pada malam ini sebagai salah satu aksi terbesar di dalam kariernya. – MalaysiaGazette