Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Johor Selatan, Yaacob Mohd Said, 65 bercakap kepada media ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pangkalan Tanjung Piai, Johor. foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2019

KUKUP – Para nelayan-nelayan di Tanjung Piai di sini menggesa kerajaan memberi perhatian terhadap keperluan mereka bagi meneruskan kehidupan dalam keadaan sukar sekarang.

Perkara tersebut antara lain adalah pemansuhan cukai terhadap peralatan nelayan dan penyediaan pas khas untuk nelayan bagi menjalankan aktiviti lain selain menangkap ikan.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Johor Selatan, Yaacob Mohd. Said berkata, nelayan kini tertekan dengan masalah ekonomi apabila terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk membeli peralatan menangkap ikan dan udang.

Sambil memberi contoh, harga untuk membeli jaring bagi menangkap udang yang agak mahal, Yaacob berkata, nelayan yang menjalankan aktiviti persendirian tidak mampu mengeluarkan wang yang banyak bagi tujuan itu.

“Ini amat penting sekali sebab cukai itu kalau dimansuhkan nelayan akan terbela kerana dapat membeli barangan yang diperlukan dengan harga berpatutan.

“Sekarang ini harga peralatan terlalu melambung. Satu jaring menangkap udang harga sudah lebih RM100. Kalau peralatan nelayan itu diimport dari Thailand, cukai itu perlulah dikurangkan atau dimansuhkan, dapatlah nelayan menarik nafas lega,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Pangkalan Tanjung Piai di sini hari ini.

Perkara lain yang turut perlu diberi perhatian terhadap nelayan ialah pengeluaran pas khas supaya nelayan dapat melakukan kerja lain untuk menyara kehidupan.

Katanya, nelayan di kawasan itu hidup dalam keadaan tersepit dan sekurang-kurangnya pas khas yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan membolehkan mereka untuk membawa penumpang pergi memancing atau ke rumah api.

“Saya syorkan agar pas khas itu dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan dengan sekurang-kurangnya ada bayaran dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Ia bagi mengelak mereka diambil tindakan oleh pihak berwajib,” katanya lagi.

Tambah beliau, mereka tahu pihak yang berkenaan seperti maritim dan marin melakukan tanggungjawab menjaga perairan negara tetapi dengan adanya pas khas berkenaan ia sekurang-kurangnya memberi sedikit kebebasan kepada nelayan untuk mempelbagaikan sumber pendapatannya di laut.

“Mereka mungkin boleh membawa pelancong, penumpang, membetulkan rumah api dan sebagainya. Kad ini boleh dikawal selia oleh Jabatan Perikanan dengan bayaran tertentu dan ia juga boleh dijadikan sumber pendapatan kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu Yaacob yakin, kemelut yang dihadapi itu bukan sahaja kepada nelayan di Tanjung Piai malah keseluruhan nelayan yang menjalankan aktiviti secara persendirian.

Katanya, pada masa ini ada dalam kalangan nelayan di Tanjung Piai telah mendapat amaran daripada pihak berwajib kerana menjalankan aktiviti membawa penumpang secara haram sedangakan ia sebenarnya sumber pendapatan kedua kepada mereka disitu yang telah terjejas pendapatannya ekoran pembangunan di kawasan sekitar.

“Mereka itu (nelayan) kalau dikena tindakan undang-undang boleh didenda sebanyak RM5,000. Mana pembelaan kepada mereka. Ini yang kita tidak mahu ia berlaku,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast