Gelagat penyokong Barisan Nasional semasa hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Pakatan UMNO-Pas serta pelantikan calon “senior”  daripada MCA memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), walaupun jumlah undi parti itu dan Pakatan Harapan (PH) dijangka tidak banyak berbeza.

China Press melaporkan, kempen menolak PH yang dilancarkan BN dijangka membantu pengundi mengimbas pelbagai masalah rakyat yang muncul selepas PH memerintah, walaupun PH mempunyai calon yang bukan calang-calang orangnya.

“PH walaupun telah melantik calon berumur, tetapi statusnya sebagai anak tempatan dan kelayakan dalam bidang agama dapat menahan serangan daripada Pas,” demikian lapor China Press.

Bagi penganalisis isu semasa, Pan Yong Qiang, BN mempunyai kelebihan di Tanjung Piai kerana memiliki rekod perkhidmatan yang baik, ditambah pula dengan rungutan rakyat ke atas kerajaan semasa.

“Pengundi Cina sedang merungut tentang PH. BN justeru dilihat mempunyai kelebihan.

“Jika BN menang, UMNO dan Pas dapat menyakinkan lebih banyak penjawat awam dan pengundi bahawa PH hanyalah kerajaan sepenggal,” katanya.

Mengenai Gerakan yang telah keluar daripada BN, masing-masing China Press dan Sinchew Daily berpendapat ia mampu memperoleh sebahagian undi khasnya daripada pengundi Cina yang neutral, tetapi parti itu dijangka tidak dapat menggugat keadaan.

“Walau bagaimanapun, kemunculan Gerakan sedikit sebanyak akan melarikan undi kaum India dan Cina, keadaan yang tidak berpihak kepada PH mahupun BN.

“Selain itu, kemunculan Berjasa dalam pilihan raya ini juga mengurangkan sinaran pakatan UMNO-Pas kerana ia menunjukkan terdapat suara lain dalam Pas memandangkan Berjasa merupakan rakan Pas,” lapor Sinchew Daily dalam satu analisis. – MalaysiaGazette