Presiden Parti Amanah Negara (PAN) yang juga Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengangkat tangan Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (kiri) pada Program Forum Kopitiam sempena semkempen Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Restoran Jiayibei, Taman Utama, Pekan Nenas, Johor. foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2019

PEKAN NANAS – Kerajaan akan menguruskan pemberian wang saguhati RM1,000 yang dijanjikan kerajaan negeri Johor kepada para nelayan di Tanjung Piai.

Bagaimanapun ia tidak boleh dilaksanakan sekarang memandangkan ia dalam proses berkempen sempena Pilihan Raya Kecil Parimen Tanjung Piai ketika ini, kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

Kata Menteri Pertahanan itu, pemberian wang saguhati itu akan diuruskan dari semasa ke semasa kepada nelayan yang terlibat di kawasan parlimen tersebut.

“Itu (wang saguhati nelayan) kita akan uruskan dari semasa ke semasa..tak boleh beri sekarang sebab kempen ketika ini (PRK),” katanya ringkas ketika ditanya selepas Majlis Forum Kopitiam di Taman Utama, Pekan Nanas malam ini.

Turut hadir ialah timbalannya, Liew Chin Tong dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pekan Nanas, Yeo Tung Siong dan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Karmaine Sardini.

Bagaimanapun Mohamad Sabu enggan mengulas lanjut masalah yang dihadapi nelayan dan menegaskan ia akan ditangani kelak.

Hari ini Malaysia Gazette secara eksklusif melaporkan keluhan dan rasa tidak puas hati kumpulan nelayan di Pengkalan Jeti Tanjug Piai yang didakwa dinafikan wang saguhati yang dijanjikan dan menganggap mereka dianiaya.

Kebanyakan mereka mengadu wang sagu hati RM2,000 diterima sejak tahun 2016 di bawah Kerajaan Barisan Nasional tidak lagi diterima sehingga menyebabkan pendapatan mereka kini terjejas ditambah dengan pelbagai insentif untuk nelayan dipotong oleh kerajaan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

Nelayan Tanjung Piai kecewa wang saguhati tidak diterima sejak zaman PH