Menteri Besar Johor, DatUK Dr. Sahruddin Haji Jamal bercakap kepada media pada Ceramah Kelompok Pakatan Harapan (PH) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di PDM Peradin, Kampung Belokok, Teluk Kerang, Johor. foto AFFAN FAUZI, 05 NOVEMBER 2019

KUKUP – Setelah menanti selama lebih setahun setengah akhirnya komuniti nelayan di Johor bakal menerima khabar gembira esok.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dijangka akan mengumumkan berita gembira khas untuk mereka.

“Akan ada khabar gembira untuk nelayan selepas Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri esok. So keputusannya apa? Nak tahu, jomlah ramai-ramai esok.

“Berita gembira untuk nelayan kawasan Johor Selatan..Insya Allah ada..apa-apapun kita tunggu lepas mesyuatat esok,” katanya kepada pemberita selepas hadir ceramah di PDM Peradin di Kampung Belokok malam ini.

Tambah Sahruddin, pengumuman gembira itu akan diumumkan selepas mesyuarat Exco sekitar antara 12 hingga 12.30 tengahari.

Ditanya pengumuman itu akan menjadi modal pembangkang yang akan mendakwanya sebagai gula-gula politik sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, beliau menyangkalnya.

“Ok, siapa akan cakap begitu? Pembangkang kan? Dia sebenarnya apa-apa pun kita buat baik pun dia tetap akan cakap ia gula-gula politik.

“Sebetulnya inilah janji yang lepas di mana kita tunaikan sekarang, kena faham bahawa kerajaan yang lepas banyak buat janji-janji dan banyak bawa masalah.

“So, insya Allah kerajaan baharu ini kita akan cuba untuk selesaikan sebarang isu dan pastinya isu isu itu diharapkan meringankan sikit beban masalah nelayan,” katanya.- MalaysiaGazette