Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim akur dan menyambut baik dengan titah Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah bahawa hasil kutipan zakat di negeri itu akan kekal untuk golongan asnaf dalam kalangan umat Islam sahaja.

Jelasnya, ucapannya sebelum ini berkenaan institusi zakat perlu melakukan pembaharuan dengan memperluaskan bantuan kepada orang bukan Islam itu sekadar cadangan yang dilihat mempunyai ruang dan keperluan untuk dikaji berdasarkan situasi.

“Saya dalam ucapan itu menyatakan Islam ini adalah mengenai keadilan, kasih sayang dan rahmat. Itu pandangan saya supaya benda ini dikaji, diteliti oleh mufti dan majlis agama dan diputuskan. Itu saja pandangan saya.

“Kalau diputuskan tak setuju, tak apa tapi saya menganjurkan wacana yang segar mengenai tajuk ini kerana ada pandangan pandangan berbeza.

“Kalau keputusan seperti mana dibuat oleh Selangor, kita patuh kerana keputusan dalam bidang kuasa majlis agama (negeri) dan sultan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Tambah beliau apa yang disuarakannya semasa Seminar Antarabangsa Zakat, Wakaf dan Filantropi Islam 30 Oktober yang lalu adalah pertimbangan memberikan zakat kepada bukan Islam yang tidak daif yang berada dalam kalangan muslim di sesebuah kawasan.

“Yang saya tekankan ialah saya mahu imej Islam, tidak munasabah kita nak fikir wang zakat itu diberi semua kepada bukan Islam tetapi saya bahkan dalam ucapan saya bagi contoh dalam satu kampung semua orang Islam ada satu rumah Hindu,” ujar Presiden PKR itu lagi.

Isnin lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, mengikut agama Islam kutipan zakat hendaklah diagihkan kepada lapan golongan asnaf, termasuk asnaf fakir dan muallaf (saudara baru) dalam kalangan umat Islam sahaja walaupun agihan zakat kepada bukan Islam dibolehkan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Zakat Selangor hanya untuk asnaf – Sultan Selangor