Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR – Hasil kutipan zakat Negeri Selangor akan kekal untuk golongan asnaf dalam kalangan umat Islam sahaja, titah
Sultan Selangor.

Menurut Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengikut agama Islam, kutipan zakat hendaklah diagihkan kepada lapan golongan asnaf, termasuk asnaf fakir dan muallaf (saudara baru) dalam kalangan umat Islam sahaja walaupun agihan zakat kepada bukan Islam dibolehkan.

Agihan zakat kepada bukan Islam dibolehkan sekiranya ia menjadikan penyebab individu berkenaan memeluk Islam di bawah asnaf Mu’allafati Qulubuhum.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata, walaupun agama Islam adalah agama yang menekankan sifat-sifat perikemanusiaan tetapi agihan zakat yang diperoleh daripada umat Islam hendaklah diberi kepada lapan golongan asnaf dalam kalangan umat Islam terutama yang miskin dan memerlukan bantuan terlebih dahulu.

Sehubungan itu, Sultan Selangor meminta isu-isu berkaitan dengan pengagihan zakat ini tidak lagi diperdebatkan secara terbuka di media massa.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru agar tiada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan isu-isu berkaitan dengan agama Islam untuk meraih populariti atau untuk mengambil hati mana-mana pihak tertentu,” katanya.

Di Negeri Selangor masih ramai orang Islam yang miskin di luar bandar dan juga miskin bandar yang perlu dibantu menggunakan hasil kutipan zakat.

“Ini kerana, di Negeri Selangor, majoriti rakyatnya beragama Islam dan jumlah penduduk Islam semakin bertambah setiap tahun,” katanya.

Orang-orang miskin yang bukan Islam adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu dan menolong mereka menerusi jabatan-jabatan dan agensi Islam yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apakata kita juga membuka pintu non muslim juga bayar zakat. Jika takut phobia guna istilah lain. Jika zakat atau apa2 istilah utk non bumi kemungkinan besar masaalah orang miskin muslim non muslim sedikit sebanyak dapat terbela. Utk mengelak penindihan kerja hanya satu badan sahaja seperti LHDN ditugas mengutip zakatatau apa2 istilah yg tidak phobia kpda nonmuslim dan pusat zakat ditumpukan tugas memberi kesedaran , ini yang lebih penting. Hal kutipan dan agihan dilakukan oleh LHDN . Serta dipantau oleh jabtan agama.

Comments are closed.