Fadhlina Sidek berkongsikan gambar pertemuannya dengan Mahdzir Khalid yang turut disertai individu lain. Gambar: Facebook Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengambil kesempatan bertemu dengan bekas rakan sejawatnya, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika tiba di Alor Setar untuk acara rasmi.

Menerusi hantaran di Facebook, Fadhlina berkata, pertemuan itu bagi membolehkan beliau berkongsi pandangan dan mendapatkan pengalaman Mahdzir yang pernah menerajui Kementerian Pendidikan sebelum ini.

“Alhamdulillah, setibanya saya di Alor Setar pagi tadi (semalam), saya sempat bertemu Datuk Seri untuk bertukar-tukar pandangan berhubung usaha berterusan dan berkesinambungan memajukan pendidikan negara.

“Beliau bukan sahaja seorang mantan menteri pendidikan, tetapi juga pernah menjadi guru dan pengetua sebelum menyertai politik, justeru hadam benar akan isu-isu dan permasalahan dalam pendidikan.

“Kami juga bersepakat perihal mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat dengan mengetepikan sebentar perbezaan-perbezaan yang melatari kehidupan kita masing-masing, dan berganding bahu memberikan fokus kepada pembangunan negara tercinta,” katanya.

Pada hantaran itu, Fadhlina turut berkongsi gambar beliau bersarapan bersama Mahdzir dengan beberapa individu lain.

Dalam pada itu, menurut Fadhlina lagi, Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah tunjang kependidikan negara yang mesti terus dipertahankan, agar setiap derap dan langkahan dilakukan mampu menjurus ke arah matlamatnya paling utama.

“Saya gembira dan bersyukur kerana semua pihak mengambil berat perihal pendidikan dan bersama-sama menyumbang ke arah penambahbaikan, bagi menuju ke arah keberhasilan dan kejayaan bersama nusa dan bangsa,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast