Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Indeks Pengurus Pembelian atau Purchasing Managers’ Index (PMI) untuk sektor pembuatan Malaysia naik kepada 49.3 mata pada Oktober 2019 berbanding 47.9 mata bulan sebelumnya.

Ini merupakan peningkatan ke paras tertinggi dalam tempoh enam bulan.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bacaan PMI pembuatan yang tertinggi bagi tempoh enam bulan itu akan membantu Malaysia mencapai sasaran pertumbuhan KDNK 4.7 peratus pada tahun ini.

“Peningkatan PMI secara mendadak daripada 47.9 mata bagi bulan September ke 49.3 mata bagi bulan Oktober merupakan antara kenaikan yang terbesar dan ia memberikan keyakinan bahawa ekonomi negara akan terus tumbuh secara mampan.

“Kebanyakan negara berdepan dengan cabaran perang perdagangan yang hebat sehinggakan Kerajaan Singapura menyatakan bahawa mereka dianggap bernasib baik sekiranya negara tersebut dapat merekod sebarang pertumbuhan untuk tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Guan Eng, kenaikan PMI dalam bulan Oktober didorong oleh peningkatan jumlah tempahan dan juga output pembuatan.

Unjuran perniagaan juga bertambah baik dan ini telah meyakinkan lebih banyak pengeluar merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Ia sekali gus, menyumbang kepada peningkatan jumlah pekerja dalam kalangan syarikat sektor pembuatan.

Perangkaan tenaga buruh terbaharu menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh di Malaysia telah naik kepada 68.6 peratus dalam bulan Ogos 2019, iaitu peningkatan 0.1 mata peratusan daripada bulan Julai 2019.

Jumlah mereka yang bekerja juga telah naik setinggi 1.9 peratus tahun-ke-tahun kepada 15.19 juta orang manakala kadar pengangguran pula kekal rendah dan stabil pada 3.3 peratus.-MalaysiaGazette