Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi bercakap kepada media pada Istiadat Konvokesyen ASWARA ke-15 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Malaysia akan rugi jika mencetuskan pertikaian dengan negara yang dipercayai melindungi Jho Low yang nama sebenarnya Low Taek Jho semata-mata untuk mendapatkan ahli perniagaan dalam buruan itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedar bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara yang kuat untuk melakukan perkara itu.

“Kita boleh ‘perang’ tapi kita akan kalah ‘perang’. Kita akan kehilangan Jho Low. Kita perlu akui kita bukan sebuah negara yang kuat.

“Kadang-kadang mereka berbaik dengan kita, kadang-kadang mereka tidak. Kita perlu menerima hakikat itu,” katanya ketika ditemui selepas berucap di Istiadat Konvokesyen ASWARA ke-15 di Panggung Eksperimen ASWARA di sini.

Perdana Menteri ditanya tentang gesaan Datuk A Kadir Jasin supaya kerajaan menggunakan taktik ala Mossad untuk membawa balik Jho Low yang menurut tokoh wartawan itu tentunya bukanlah sesuatu yang sukar kerana pihak polis di negara ini tahu di mana beliau berada.

Ditanya sama ada beliau tahu Jho Low berada, Perdana Menteri sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa kerajaan tidak tahu di mana ahli perniagaan yang dikaitkan sebagai dalang utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

“Saya tidak tahu,” jawabnya ketika ditanya sama ada Jho Low berada di barat atau di timur dunia.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan sedang bekerja keras untuk mendapatkan Jho Low melalui maklumat meskipun sedar ia bukan mudah.

“Saya dimaklumkan dia mungkin memegang pelbagai pasport dan dia mungkin melakukan pengubahan wajah. Tetapi semua ini hanya khabar angin sahaja kerana tidak ada bukti. Tetapi perkara itu boleh berlaku. Itu yang menyukarkan Malaysia,” ujar Dr Mahathir.

Terdahulu Dr Mahathir yang ditanya mengapa kenyataannya mengenai Jho Low tidak senada dengan Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Ketua Polis Negara tidak memaklumkan kepadanya tentang semua siasatan mengenai ahli perniagaan tersebut.

“Beliau tidak maklumkan dan saya tidak tahu tetapi tidak semestinya apabila dia tahu di mana Jho Low, dia perlu menghubungi saya dan memaklumkan Jho Low di sini atau di sana. Ia bukan begitu,” tambahnya. – MalaysiaGazette