KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mungkin mahu menjalin hubungan lebih rapat dengan gergasi minyak Arab Saudi, Saudi Aramco, yang akan membekalkan sebahagian besar minyak bagi pelaburan hilirannya, projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Johor.

Profesor Madya Pengurusan Asia School of Business Dr Renato Lima de Oliveira berkata, Petronas dan Saudi Aramco merupakan rakan kongsi penting dalam projek RAPID, dengan kedua-dua pihak mempunyai pelaburan besar dalam aktiviti hiliran itu, yang akan memproses minyak Arab Saudi.

RAPID ialah sebahagian daripada Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor.

Menerusi usaha sama dalam projek RAPID, Saudi Aramco akan membekalkan 50 peratus keperluan minyak mentah untuk kilang penapisan itu, dengan opsyen untuk meningkatkannya kepada 70 peratus.

“Peraturan kerajaan Arab Saudi baru sahaja diubah, untuk menjadikannya lebih menarik kepada pelabur asing. Tetapi, ia mungkin diubah semula di masa depan, yang lebih memihak kepada cukai lebih tinggi, dengan itu menurunkan kadar keuntungan pelaburan dalam Saudi Aramco,” katanya kepada Bernama.

Lima de Oliveira berkata, masih terdapat risiko agak tinggi dengan mengambil kira struktur keputusan berpusat kerajaan Arab Saudi dan keperluan fiskal.

Saudi Aramco dilaporkan telah menawarkan kepada Petronas untuk mengambil bahagian dalam tawaran awam permulaannya (IPO), berikutan gergasi minyak itu sedang mencari pelabur asas untuk penyenaraian yang dijadualkan pada Disember tahun ini.

Kerajaan Saudi menyasarkan untuk menjual 2.0 peratus kepentingan Aramco dalam penyenaraian domestiknya pada Disember.

Tawaran itu dibuat ketika hampir bermulanya operasi komersial RAPID, yang dibina bersama Aramco.

Pada sesi dagangan awal hari ini, kaunter berkaitan Petronas meningkat kerana ia telah menarik minat pelabur tempatan dan asing berikutan kemungkinan penyertaan syarikat minyak negara itu dalam IPO Saudi Aramco.

Seorang penganalisis berkata penyertaan Petronas dalam IPO akan mengukuhkan hubungan antara syarikat minyak dan gas Malaysia dan Arab Saudi.

Ia juga boleh menjadi rangsangan besar bagi Petronas kerana Saudi Aramco adalah satu daripada syarikat terbesar dan paling menguntungkan di dunia. – MalaysiaGazette