Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (kiri) bercakap pada sidang media khas sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, Pontian, Johor.foto HAZROL ZAINAL, 07 NOVEMBER 2019.

PEKAN NANAS – Kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa dia keseorangan berlawan dengan DAP hanya pandangan peribadi yang tidak harus diperbesarkan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak menonton sepenuhnya video yang merakamkan kenyataan Ahmad Faizal itu.

“Apapun beliau (Ahmad Faizal) adalah Menteri besar dan DAP adalah rakan penting di Perak, Bagi saya itu biasa.

“Mungkin sebab dia seorang (pemimpin) Bersatu (dalam pentadbiran Perak), tapi saya percaya kedudukannya sebagai MB boleh bantu beliau menguruskan keadaan.

“Itu adalah pengalaman peribadi berdasarkan apa yang dia cakap,” katanya pada sidang media selepas Program Minum Petang bersama Warga Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) di Balai Polis Pekan Nanas petang tadi.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Faizal bahawa dia keseorangan terkontang kanting berlawan dengan puak puak DAP untujk mempertahankan tanah orang Melayu dan memperjuangkan agama Islam sebelum diviralkan dalam media sosial hari ini.

Ditanya sama ada perbuatan menteri besar itu mampu menjejaskan sokongan pengundi kepada PH, beliau megharapkan keadaan tidak akan berlaku.

“Saya harap tak begitu kerana di Tanjung Piai kita berkempen secara sihat tanpa mengenepikan mana-mana pihak di sini.

“Semua pemimpin termasuk DAP turun, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Gobind Singh semuanya turun dan saya merakamkan terima kasih kepada mereka kerana mereka tahu ini perjuangan PH bukan DAP atau Bersatu (PPBM).

“Nanti saya dapatkan pandangan dia (Ahmad Faizal) sendiri. Saya tak rasa ia sebagai satu perkara yang perlu dianggap besar,” ujarnya. – MalaysiaGazette