Anggota polis membuat kawalan di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seawal pukul 7.00 pagi bagi menjaga keselamatan sepanjang proses pemindahan Najib dari penjara ke kediaman ketika di Langgak Duta, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Memasuki hari ketujuh selepas pengumuman pengampunan, kediaman Datuk Seri Mohd Najib Razak di Langgak Duta di sini masih belum menyaksikan sebarang pergerakan bekas Perdana Menteri itu untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

Tinjauan MalaysiaGazette pagi tadi mendapati sebuah van polis bergerak tiba di kawasan kediaman berkenaan kira-kira 9.30 pagi bagi menjalankan pemantauan.

Beberapa anggota polis turut kemudian memasuki kawasan kediaman tersebut pada pukul 1.14 petang menggunakan sebuah kenderaan polis sebelum berada di situ kira-kira 10 minit.

Mereka kemudiannya beredar tanpa memberikan sebarang kenyataan atau memaklumkan perkembangan baharu kepada wakil media.

Keadaan di pekarangan kediaman berkenaan kekal tenang manakala beberapa petugas media masih berkumpul di sekitar lokasi bagi mengikuti perkembangan terkini.

Keadaan sama turut dilaporkan di sekitar Penjara Kajang apabila tiada pergerakan luar biasa yang menunjukkan Najib akan dibawa keluar untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

Dalam perkembangan berkaitan, bayaran denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai antara syarat pengampunan bersyarat terhadap Najib turut terus menjadi perhatian.

Berdasarkan kemas kini terakhir pada 19 September, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di Facebook melaporkan Tabung Solidariti Najib Razak berjaya mengumpul RM1 juta bagi membantu melunaskan denda berkenaan.

Bagaimanapun, jumlah itu bukan angka terkini kerana tiada kemas kini rasmi baharu diumumkan selepas tarikh berkenaan.

Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib, membolehkan beliau menjalani baki hukuman bagi kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here