KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) telah membenarkan penggunaan nombor jersi pemain bermula nombor 1 sehingga 99 untuk pasukan Liga Super dan Liga Premier musim 2020.

Keputusan itu dicapai selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat telah meluluskan cadangan sekretariat mengenai nombor jersi yang dicadangkan untuk pasukan pada musim depan.

“Sebelum ini, penggunaan nombor jersi bermula No.1 sehingga 30 hanya untuk pemain daripada skuad utama dan No. 31 sehingga 50 bagi pemain pasukan Piala Presiden, Piala Belia atau Reserve Team yang bermain dengan skuad utama.

“Manakala penggunaan nombor jersi bermula No. 51 sehingga 60 untuk pemain-pemain yang didaftarkan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia,” katanya MFL dalam satu kenyataan di sini hari.

Dalam perkembangan lain, Ahli Lembaga Pengarah MFL turut mengumumkan keputusan penamatan kutipan levi daripada pasukan-pasukan bertanding di Liga Malaysia.

Bermula musim depan, pembayaran untuk perlawanan dan pegawai pertandingan akan ditanggung sepenuhnya oleh pasukan masing-masing.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL turut mengesahkan Bengkel Economic Control Programme (ECP) bakal berlangsung pada 18 November dan akan dihadiri semua rakan kongsi Liga Malaysia.

Terdahulu, MFL telah mencapai kata sepakat untuk memperkenalkan Economic Control Programme (ECP) secara berperingkat bermula musim depan sebelum pelaksanaan menyeluruh dan lebih ketat pada musim 2021.

Langkah ini dibuat bagi memudahkan rakan kongsi selaku pasukan bertanding memahami konsep ECP dengan lebih mendalam.

MFL turut menasihatkan semua pasukan supaya tidak menandatangani mana-mana pemain sebelum taklimat dan pengenalan ECP. – MalaysiaGazette