Hassan Rouhani. Foto Agensi

TEHRAN – Iran menemui medan minyak baharu, dengan simpanan minyak sebanyak 50 bilion tong, di selatan negara itu, kata Presidennya yang mana penemuan tersebut boleh meningkatkan simpanannya sebanyak sepertiga ketika ia bergelut untuk menjual komoditi itu di luar negara kerana sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS)

Pengumuman oleh Hassan Rouhani dilakukan ketika Iran berhadapan sekatan AS selepas kuasa besar itu menarik diri daripada rundingan nuklear pada tahun lalu.

Rouhani mengumumkannya ketika berucap di bandar Yazd. Beliau berkata, medan minyak tersebut terletak di wilayah Khuzestan yang menjadi lokasi industri minyak yang penting negara itu, lapor AP.

Kira-kira 53 bilion tong akan ditambah pada simpanan minyak sebanyak 150 bilion tong, katanya.

“Saya memberitahu White House bahawa ketika anda melaksanakan sekatan penjualan minyak Iran, pekerja dan jurutera negara ini mampu menemui 53 bilion tong minyak,” kata Rouhani seperti dipetik agensi berita, Fars.

Kini Iran merupakan negara yang mempunyai simpanan minyak keempat terbesar dunia selain menjadi negara kedua terbesar mempunyai simpanan gas asli. Ia berkongsi medan di pesisir laut dengan Qatar.

Medan minyak baharu itu merupakan medan minyak kedua terbesar Iran dengan simpanan 65 bilion tong minyak di Ahvaz. – Agensi