Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto IQBAL BASRI, 10 NOVEMBER 2019

BATU CAVES – Nasib pekebun kecil, petani dan nelayan yang berdepan dengan masalah kemiskinan tidak akan terbela sekiranya kerajaan tidak membawa isu tersebut ke Kabinet.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, masalah itu akan terus berlarutan susulan apa yang dibincangkan komuniti luar bandar itu tidak dibincangkan di Putrajaya.

“Kita tak boleh anggap kita tahu semua, dua bulan lalu saya pergi ke Kedah, Tasik Pedu, kawasan pekebun kecil getah.

“Balik saya lapor kepada Shamsul Iskandar Md Akin dan Teresa Kok, masalah yang dibicara di bawah itu tak sama dengan apa yang dibincangkan dengan Putrajaya.

“Jadi pemimpin mesti turun padang dan ambil masa kerana kategori pekebun kecil, nelayan, penanam padi ini termasuk dalam kategori miskin dan berpendapatan rendah (B40),” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Jalinan Mesra Peladang (Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Bandar Baru Selayang, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar juga menegaskan bahawa NAFAS dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) sepatutnya menjadi jurucakap kepada ahli-ahli yang majoriti dalam golongan miskin.

“NAFAS dan NEKMAT punya peranan penting, dia mesti mewakili bukan pendirian menteri atau kerajaan sahaja.

“Mereka mesti jadi jurubicara menjaga kepentingan ahli-ahli di bawah pekebun kecil, petani, nelayan dan mereka yang memerlukan,” katanya.

Anwar turut memberi lampu hijau kepada NAFAS dan NEKMAT untuk ‘berbalah’ dengan kementerian berkaitan dalam membela hampir 9,000 ahlinya di seluruh negara.

“Nafas boleh jumpa menteri, boleh berbalah dengan kementerian, boleh bincang atau bantah dengan pengurusan, maksud saya bantah dalam mesyuarat.

“Dengan cara sedemikian, mereka dengar, mereka tak mungkin tahu semua,” jelasnya.

Beliau sendiri membawa soal kemiskinan pekebun kecil, petani dan nelayan itu dalam semua Konvenysen Keadilan yang dihadirinya di seluruh negara.

“Saya sekarang menjelajah untuk Konvenysen Keadilan seluruh negara, saya tak bincang pasal politik dan negara, saya bincang soal kemiskinan rakyat.

“Kita bincang soal kesenjangan di antara golongan maha kaya dengan amat miskin yang mesti diperbetulkan.

“Bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu dengan orang Cina, sesama orang Melayu pun di antara amat kaya dna paling miskin itu terus melebar, jadi kesenjangan terus berlaku.

“Kerajaan sedang meniliti dan saya percaya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 ini kita dapat mengemukakan program-program yang kita rasakan boleh menyelesaikannya sebahagaian masalah ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette