Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap TImbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Azmin Ali beramah mesra dengan sebahagian penduduk yang hadir pada Program Sembang Santai Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Kampung Bakar Arang, Pekan Nenas, Johor. foto AFFAN FAUZI, 10 NOVEMBER 2019

PEKAN NANAS – Kerajaan akan membangunkan pelan Koridor Ekonomi Baharu untuk negeri Johor yang dijangka dimulakan pada tahun hadapan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan akan mewujudkan nukleus-nukleus baharu untuk membangunkan bandar-bandar kecil di Malaysia sehingga ke Johor.

“Tan Sri Muhyiddin juga mempunyai cadangan bagaimana Johor dapat dibangunkan, pelan pembangunan ini kita akan teliti sama ada di peringkat kementerian dan juga Majlis Tindakan Ekonomi (EAC).

“Semalam saya juga telah mendapat taklimat panjang tentang ekonomi koridor baharu untuk negeri Jobor yang akan diteliti dan dibentangkan kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sebagai usaha berterusan yang memerlukan tempoh panjang melaksanakannya.

“Kita tidak mahu pembangunan hanya tertumpu di Lembah Klang atau bandaraya sahaja, tetapi daerah-daerah kecil juga perlu diselamatkan kerana ianya dapat memberikan kebaikan kepada penduduk sama ada dalam bentuk pengangkutan awam, seperti rel, pelabuhan, lapangan terbang dan kemudahan lain yang menjana ekonomi Johor,” katanya kepada pemberita tengahari tadi.

Beliau hadir pada program bersama pengundi diiringi calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini.

Ditanya adakah Koridor Ekonomi baharu itu melibatkan pembangunan Tanjung Piai, Ahli Parlimen Gombak itu berkata, pembentangan baru dilakukan semalam dan kementeriannya akan meneliti cadangan itu.

“Manakala jumlah pekan-pekan yang terlibat masih dalam pertimbangan dan saya kira Tanjung Piai tidak akan terkecuali untuk dilihat secara menyeluruh dalam Koridor Ekonomi Baharu tersebut,” tegasnya. – MalaysiaGazette