Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar. foto NOOREEZA HASHIM, 21 SEPTEMBER 2019.

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu sentiasa terbuka kepada sebarang cadangan penambahbaikan sistem kewangan termasuk kaedah penyaluran Wang Tunai Petroleum (WTP), kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata, kaedah penyaluran WTP secara terus oleh kerajaan pusat ke dalam akaun kerajaan negeri yang diguna pakai pada masa ini cukup efektif dan tidak perlu ditukar baharu.

“Saya tidak nampak apa perlunya sistem baharu kerana kaedah penyaluran secara terus oleh kerajaan pusat ke akaun negeri pada masa ini sudah memadai.

“Jika ada kepincangan dalam mana juga pengurusan kewangan WTP, mana-mana pihak tidak akan terlepas begitu sahaja kerana kita ada sistem audit setiap tahun dan akan ditegur sekiranya berlaku penyelewengan dan salah tadbir.

“Malah kerja-kerja audit juga dilakukan oleh agensi kerajaan pusat, bukannya kita (kerajaan negeri) yang pandai-pandai audit sendiri,” katanya kepada pemberita di sini selepas majlis sambutan bayi permata Maulidur Rasul di sini Sabtu malam.

Beliau ditanya mengenai desakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang meminta kerajaan pusat mengkaji semula kaedah penyaluran WTP kerana didakwa berlaku diskriminasi dan penyelewengan dalam agihan.

Mengulas mengenai dakwaan berlakunya ketidakadilan dan diskriminasi agihan yang disasarkan kepada golongan daripada parti tertentu sahaja, Ahmad Samsuri berkata, tuduhan itu adalah sesuatu yang berat dan perlu diambil serius.

Menurut beliau, mana-mana pihak tidak boleh membuat tuduhan melulu jika tidak ada bukti yang benar-benar kukuh untuk menyokong dakwaan yang ditimbulkan.

“Saya mohon supaya beliau (Raja Bahrin) tampil memperjelaskan dakwaan beliau terhadap kerajaan negeri dan perlu ada butiran-butiran lengkap dan jelas untuk kita lihat kesahihan dakwaan.

“Jika ada penyelewengan dan sebagainya, kita ada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan ambil tindakan atas kesalahan itu,” katanya. – Bernama