ANKARA – Tufrki berkata ia akan mula menghantar pulang pejuang IS asing ke negara asal mereka pada minggu depan ketika pertelingkahan berlaku antaranya dengan negara-negara Eropah.

Sejak minggu lepas, Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu beberapa kali mengkritik negara-negara Eropah kerana tidak mengambil tindakan, berikrar untuk menghantar militan IS pulang walaupun jika kewarganegaraan mereka telah dibatalkan, lapor agensi berita, Xinhua.

Pada Jumaat lalu, beliau lebih vokal apabila memberitahu agensi berita, Anadolu bahawa proses penghantaran pulang akan bermula seawal Isnin.

“Kini kami memberitahu anda bahawa kami akan mula menghantar pulang mereka kepada anda. Kami akan memulakannya pada Isnin ini,” kata menteri itu tanpa mendedahkan jumlah pejuang IS dan negara asal mereka.

Pada awal minggu ini, Soylu yang memberi amaran pada kepada negara-negara Eropah dan menggesa mereka untuk mengambil tindakan segera berkata: “Turki bukannya sebuah hotel untuk pengganas asing,”.

Berikutan serangan tentera Turki di timur laut Syria pada bulan lalu, Menteri Dalam Negeri itu menyatakan Ankara telah menawan 1,020 pejuang IS dan ahli keluarga mereka yang berkewarganegaraan asing dan daripada jumlah itu seramai 287 orang ditahan semasa operasi melangkaui sempadan. – Agensi