Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan keluar rehat semasa menghadiri pada penghujahan berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Hari ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar keputusan berhubung tujuh pertuduhan berkaitan dana RM42 juta membabitkan SRC International.

Mahkamah akan memutuskan sama ada pendakwa raya telah berjaya atau tidak untuk menghujahkan keterangan yang mencukupi terhadap pertuduhan-pertuduhan yang  dibicarakan sepanjang tujuh bulan dengan seramai 57 saksi telah dipanggil.

Jika pendakwa raya berjaya membuktikan kes prima facie berhubung kesemua pertuduhan atau mana-mana daripada tujuh pertuduhan, maka Ahli Parlimen Pekan itu akan dipanggil untuk memasuki pembelaan.

Namun, menurut peguam Mohamed Haniff Khatri ketika menghuraikan prosedur mahkamah berkata, keadaan itu tidak bermaksud Najib telah didapati bersalah.

Katanya, kesalahanan dan sabitan akan hanya diputuskan selepas Najib memasuki pembelaan kelak.

Sekiranya keputusan memihak kepada pendakwa raya dalam mana-mana daripada tujuh pertuduhan itu, maka bekas perdana menteri itu belum mempunyai hak untuk membuat rayuan sebaliknya beliau perlu melalui proses pembelaan terebih dahulu.

Meghuraikan lebih lanjut, Haniff berkata, sebaliknya jika keputusan memihak kepada Najib dalam mana-mana daripada tujuh pertuduhan maka Najib akan bebas daripada pertuduhan terbabit.

“Tetapi pihak pendakwaraya berhak, jika ingin, untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu,” katanya di laman Facebook.

Pertuduhan ke atas Datuk Seri Najib Razak (Memetik laporan Bernama)

* 4 Julai 2018 – Bagi dua tuduhan pecah amanah jenayah, Najib didakwa selaku penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta Advisor Emeritus (Penasihat Emeritus) SRC International Sdn Bhd.

Dalam kapasiti itu, beliau yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, dituduh melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM27 juta dan RM5 juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group dekat Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Disember hingga 29 Disember 2014.

Bagi kesalahan ketiga, Najib didakwa melakukan jenayah sama, membabitkan wang berjumlah RM10 juta, di tempat sama, antara 10 Februari hingga 2 Mac 2015.

Bagi semua tuduhan itu, Najib didakwa mengikut Seksyen 409, Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi tuduhan rasuah pula, Najib dengan kedudukan sama, didakwa menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila mengambil bahagian atau terbabit dalam keputusan bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri Presint 1, Putrajaya antara 17 Ogos 2011 hingga 8 Februari 2012 mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694).

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, maksimum 20 tahun penjara dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

* 8 Ogos 2018 – Bagi tuduhan pertama, Najib didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta hasil daripada aktiviti haram melalui Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) ke dalam akaun miliknya di Bank AmIslamic.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Bank AmIslamic Berhad, Bangunan AmBank Group, No 55 Jalan Raja Chulan, dekat sini pada 26 Disember 2014.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, Najib didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM10 juta di tempat dan cara yang sama.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, atau mana-mana jumlah yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette