Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan para penyokongnya bagi menghadiri perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum mendengar keputusan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Tanpa sedikit pun rasa gusar atau gentar, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhasrat menggunakan peluang selepas di perintahkan hakim untuk membela dirinya dalam penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) sebanyak RM42 juta hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika membacakan keputusan akhir pendakwaan pagi tadi telah memerintahkan Najib membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC.

Mohd Nazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes ‘prima facie’ bagi kes berkenaan.

Najib dalam catatan terbaru di laman sosial Facebook menyatakan beliau akan menggunakan peluang itu untuk membersihkan nama di mahkamah sambil memanggil saksi-saksi pembelaan buat kali pertama untuk kes ini.

“Saya diperlukan oleh Hakim untuk membela diri dalam kes SRC.

“Pilihan saya untuk membela diri ialah dengan memberi keterangan secara bersumpah di mana saya boleh disoal balas oleh pendakwaraya.

“Saya dan peguam-peguam saya juga diberikan peluang untuk memanggil saksi-saksi pembelaan buat kali pertama dalam kes SRC ini.

“Sehingga kini, hanya saksi-saksi pendakwa raya telah dipanggil dan kali ini saksi-saksi pembelaan akan diberi peluang untuk memberi gambaran sebenar dan membuktikan saya tidak bersalah.

“InsyaAllah. Inilah peluang untuk membersihkan nama saya tidak lama lagi di dalam mahkamah,” katanya sebentar tadi.

Catatan tersebut yang mendapat maklum balas serta ‘like’ lebih 18,000 pengikut Facebooknya juga telah memberikan kata-kata semangat serta sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau.

Hakim Mohd Nazlan ketika membuat keputusan itu pada akhir kes pendakwaan berkata, mahkamah mendapati elemen menggunakan kedudukan, tidak amanah dan pengubahan wang haram oleh tertuduh telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Antara yang disebut oleh Mohd Nazlan adalah tentang bukti catatan minit mesyuarat menunjukkan tertuduh hadir pada dua mesyuarat yang meluluskan jaminan kerajaan berjumlah RM4 bilion untuk SRC oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Jaminan kerajaan bagi jumlah RM4 bilion itu telah diluluskan dalam dua peringkat iaitu RM2 bilion setiap satu.

“Pinjaman KWAP itu tidak mungkin diluluskan tanpa jaminan kerajaan dan pinjaman itu disalurkan dengan kadar segera sekiranya tertuduh bukan seorang Perdana Menteri atau Menteri Kewangan pada ketika itu.

“Tertuduh mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas syarikat (SRC) selaku Menteri Kewangan dan MOF Inc sebagai pemegang saham tunggal SRC,” ujarnya.

Ketika membacakan keputusan, Najib kelihatan begitu tenang malah sempat melemparkan senyuman kepada para penyokong serta pengamal media selepas selesainya kes tengah hari tadi.

Pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas. Pasukan itu turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai barisan peguam bela.

Najib yang diiringi anaknya Nooryana Najwa dan Datuk Mohamad Nizar, tiba di Kompleks Mahkamah di sini pada 8.45 pagi seperti biasa memberi senyuman serta menyambut ratusan penyokongnya yang rata-rata ahli UMNO dan BN.

Mahkamah menetapkan 3 dan 4 Disember, 9 hingga 12 Disember, dan 16 hingga 19 Disember untuk Najib membela diri. – MalaysiaGazette