Ng Sze Han
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han pada sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memasang papan tanda peringatan di kawasan awam yang melarang mana-mana individu meminum minuman keras di situ bertujuan menjaga keselesaan dan ketenteraman orang ramai.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, menerusi langkah itu juga, PBT akan mengambil tindakan tegas terhadap peminum arak yang menimbulkan kekecohan di kawasan berkenaan.

“Pihak berkuasa tempatan akan menjalankan pemantauan menerusi rondaan di lokasi awam berkenaan dan jika berlaku kacau ganggu (oleh mana-mana individu) akibat mabuk, PBT akan melaporkan perkara itu terus kepada polis.

“Polis juga mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap peminum arak itu sekiranya berlaku perkara tidak diingini,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chua Wei Kiat (PKR-Rawang) berhubung tindakan kerajaan Selangor dalam mengatasi kekecohan yang dilakukan peminum arak di kawasan awam.

Mengulas lanjut Ng berkata, bagaimanapun tiada larangan untuk mana-mana individu meminum arak di taman awam di negeri ini.

“Ini selaras dengan ketetapan Undang-Undang Kecil Taman 2005,” katanya. – Bernama