Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari mahkamah selepas mendengar keputusan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diperintah membela diri membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta telah memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Najib perlu membela diri selepas pihak pendakwa raya berjaya membuktikan wujud kes prima facie bagi tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Beliau akan memberi keterangan dari kandang saksi bakal disoal balas oleh pihak pendakwaan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menetapkan 10 hari iaitu 3, 4, 9 hingga 12 dan 16 hingga 19 Disember ini untuk Najib dibicarakan.

Terdahulu, Mohd Nazlan ketika membacakan keputusannya juga memberitahu Najib yang mempunyai kepentingan serta kawalan dalam syarikat SRC International telah membiarkan RM42 juta di depositkan ke akaun peribadinya.

Wang itu kata Mohd Nazlan kemudian digunakan olehnya untuk kepentingan diri sendiri.

Malah kata Mohd Nazlan, Najib juga di dapati tidak melakukan apa-apa selain mendakwa rasa ‘terkejut’ dan tidak tahu menahu tentang wang RM42 juta di depositkan ke akaunya termasuk tidak membuat laporan polis.

“Mahkamah mendapati tertuduh tidak melakukan apa-apa tindakan untuk menentukan wang yang masuk ke dalam akaunnya adalah daripada aktiviti pengubahan wang haram. Malah beliau telah di dapati mengeluarkan cek-cek menggunakan dana itu.

“Wang SRC sebanyak RM42 juta itu juga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian kerana ianya dimasukkan ke dalam akauan peribadi bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

“Najib juga didapati telah menggunakan kedudukannya dalam mesyuarat Kabinet pada 2011 dan 2012 untuk meluluskan usul pinjaman jaminan kerajaan RM4 bilion KWAP kepada SRC International.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM42 juta pula telah dimasukan ke dalam akuan peribadi di Ambank. Syarikat ini juga bukan satu syarikat ‘biasa’ kerana Najib adalah penasihatnya,” katanya ketika membacakan keputusan kes tersebut selepas tujuh bulan dibicarakan dan 58 saksi dipanggil.

Ahli Parlimen Pekan itu telah didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lalu pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Najib telah didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Jika sabit kesalahan, Najib berdepan dengan hukuman maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas manakala barisan peguam bela diwakili oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. – MalaysiaGazette

Kes SRC International: Najib diperintah bela diri

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.