Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak . foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini diperintah membela diri selepas pihak pendakwa raya berjaya membuktikan wujudkan kes prima facie bagi kesemua tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan tersebut diumumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali kira-kira pukul 11.30 pagi.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan diperintah membela diri bagi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu.

Mohd Nazlan membuat keputusan sedemikian di akhir kes pendakwaan selepas mendengar hujahan pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan barisan peguam bela Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 23 Oktober lalu.

Mohd Nazlan ketika membacakan keputusan itu berkata, Najib telah menggunakan kedudukan  sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM4 bilion daripada  Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011 kepada SRC.

Beliau berkata, Najib juga telah menggunakan wang RM42 juta daripada SRC untuk kepentingan sendirinya termasuk berbelanja untuk parti UMNO atas kapasiti sebagai Presiden UMNO.

Hakim juga menyatakan pinjaman KWAP melalui jaminan kerajaan juga tidak akan dilaksanakan tanpa Najib menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Mohd Nazlan juga sebelum ini telah menetapkan 3 dan 4 Dis, 9 hingga 12 Dis, dan 16 hingga 19 Dis untuk Najib membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

Najib telah menjawat jawatan Perdana Menteri ke-6 antara April 2009 sehingga Mei 2018 sebelum kerajaan Barisan Nasional jatuh ke tangan Pakatan Harapan melalui Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Ini bukan sahaja kes berprofil tinggi yang mendapat tumpuan dunia sebaliknya Najib pemimpin pertama dengan jawatan Perdana Menteri yang didakwa dengan pertuduhan salah guna kuasa, rasuah serta penggubahan wang haram di mahkamah.

Jika didapati bersalah, Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda daripada nilai suapan.

Ketika ini, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga telah memohon masa setengah jam bagi menerangkan kepada anak guamnya tentang pilihan yang beliau ada selepas mahkamah mengumumkan keputusan.

Najib mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi, yang mana beliau tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan;

Kedua keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh (memberi keterangan dari kandang tertuduh); dan pilihan terakhir adalah berdiam diri.

Keterangan dari tempat duduk saksi akan lebih meyakinkan mahkamah berbanding dua pilihan lagi. Jika tertuduh memilih untuk berdiam diri, mahkamah tiada pilihan melainkan mensabitkan tertuduh.

Sebelum ini, Thomas menutup kes pendakwaan selepas Mahkamah Tinggi selesai mendengar keterangan 57 saksi, antaranya membabitkan pegawai kanan Ambank, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan SRC.

Sebaik sahaja menutup kesnya, pendakwaan menawarkan 66 saksinya kepada pihak pembelaan.

Perbicaraan ini yang mengambil masa selama 58 hari di peringkat kes pendakwaan disifatkan antara yang paling singkat berlangsung.

Najib mula dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 untuk berdepan tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Pada 8 Ogos, beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana sama. Kesemua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan semua pertuduhan digabungkan dalam satu perbicaraan.

Beliau didakwa melakukan tujuh kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015. –MalaysiaGazette