Seorang anggota polis trafik (kiri) memasukkan kertas undi kedalam peti pada pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 12 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Proses undi awal melibatkan 280 anggota dan pegawai polis mula bermula pukul 8 pagi ini di Dewan PERKEP Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.

Sebanyak dua saluran dibuka untuk memudahkan proses undi awal untuk membolehkan anggota dan pegawai polis di Dewan Undangan Negeri Pekan Nanas dan Kukup mengundi.

Saluran pertama dibuka hingga pukul 1 tengahari manakala saluran kedua akan dibuka sehingga 5 petang.

Anggota polis menunggu giliran bagi membuang undi pada pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 12 NOVEMBER 2019.

Calon Barisan Nasional, Datuk Seri Wee Jeck Seng hadir pada pukul 7.52 bagi memantau proses pengundian sebelum beredar.

Manakala calon Gerakan, Wendy Subramaniam tiba 10 minit selepas itu diikuti calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini sampai ke Pusat Mengundi Awal IPD Pontian pada pukul 8.20 pagi.

Turut kelihatan Ketua Polis Deerah Pontian Superintendan Mustafa Bakri Salleh memantau proses pergerakan anggota serta pelaksanaan mengundi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh bercakap kepada media pada pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 12 NOVEMBER 2019.

Bercakap kepada pemberita, Mustafa berkata, 12 orang anggota polis yang bertugas di luar daerah turut dimaklumkan supaya mereka tidak terlepas peluang menunaikan tanggungjawab sebelum pukul 5 petang.

“Semua 280 orang anggota dan pegawai kami melibatkan dua DUN di Parlimen Tanjung Piai sedang mengundi tanpa masalah” katanya.

Setakat ini katanya, kempen PRK berjalan lancar dan mengikut pecahan seramai  18 anggota adalah dari Pekan Nanas manakala 210 orang dari Kukup, 38 orang bertukar ke luar daerah di Johor dan 14 lagi telah bersara.

“Saya menjangkakan akan berlaku provokasi pada saat akhir kempen PRK yang berbaki tiga hari lagi dan berharap semua penyokong parti-parti terlibat supaya mengawal emosi dan tingkah laku mereka,” tegasnya.- MalaysiaGazette