Datuk Seri Mohamad Hasan

PONTIAN – Pengundi-pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai sudah membuat keputusan, siapa wakil rakyat yang mereka mahu.

Itu reaksi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditanya mengenai pandangannya menjelang proses pembuangan undi pada 16 November ini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima beliau dimaklumkan bahawa pengundi di Tanjung Piai telah membuat keputusan sebelum penamaan calon bagi PRK berkenaan, 2 November lalu.

“Sebenarnya orang ramai (pengundi) dah buat keputusan. Keputusan itu dibuat sebelum penamaan calon lagi.

“Apa pun saya sangat positif. Masyarakat di Tanjung Piai dah buat keputusan. Katalah apa yang anda suka atau cakap apa sahaja yang anda mahu.

“Mungkin ada perubahan dua hingga tiga peratus, tetapi orang ramai dah buat keputusan,” katanya ketika ditemui pada ceramah umum di Kampung Telok Kerang, malam tadi.

Sementara itu, Mohamad Hasan berkata, Keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membela diri semalam, dilihat tidak akan memberikan kesan kepada proses pengundian bagi pilihan raya berkenaan.

“Hari itu saksi pendakwa boleh berikan keterangan dan bukti-bukti, di situ. Oleh itu, bukti dan keterangan pihak pembelaan diharapkan dapat membantu dalam kes ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette