IMBAS KEMBALI.Salah seorang dari 12 individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) hadir ke mahkamah untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor baru-baru ini. foto SYAFIQ AMBAK.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR –  Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim membantah cadangan kerajaan untuk memendekkan tempoh maksimum penahanan reman yang diperuntukkan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kepada 14 hari sahaja.

Ini kerana katanya, siasatan di bawah SOSMA membabitkan jenayah berat dan pencegahan kegiatan militan yang boleh menjejaskan keselamatan dan keamanan tanah air.

“Bayangkan siasatan yang dijalankan sehingga 28 hari pun masih ada masalah teknikal sehingga menyebabkan kes dibatal, apatah lagi tempoh itu dipendekkan.

“SOSMA adalah undang-undang pencegahan bagi memastikan negara kita selamat daripada sebarang aktiviti melampau.

“Malah, selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 mansuh kita boleh lihat peningkatan kes jenayah berat, kongsi gelap termasuk penyebaran ideologi kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Sebaliknya SOSMA perlu diperketatkan lagi agar tiada campur tangan mana-mana pihak sehingga berlaku pendakwaan terpilih, saya bimbang pada masa akan datang suspek militan akan menggunakan keputusan mahkamah baru-baru ini sebagai rujukan melepaskan mereka,” katanya hari ini.

Shahul Hamid Abdul Rahim.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang memaklumkan kabinet berpandangan tempoh tahanan selama 28 hari dalam akta itu adalah terlalu lama untuk seseorang ditahan reman tanpa melalui perbicaraan di mahkamah.

Dalam perkembangan lain, Shahul turut membantah cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar proses kemasukan pekerja asing yang dikendalikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dikembalikan kepada Kementerian Sumber Manusia.

Katanya, sewajarnya urusan pekerja asing terletak di bawah satu jabatan khusus dianggotai semua kementerian.

“Ini bagi mengelakkan salah urus tadbir serta membuka ruang dan peluang jenayah rasuah jika ia terletak di bawah satu kementerian.

“Apa yang patut ditambahbaik adalah proses pengambilan pekerja asing yang layak sewajarnya dipermudahkan bukannya mengambil masa yang terlalu lama sehingga menjejaskan sektor tertentu di negara ini.

“Apabila prosesnya mengambil masa terlalu lama seperti sehingga enam bulan, ada majikan terpaksa menawarkan rasuah sebagai jalan pintas untuk tidak menjejaskan operasi perniagaannya,” katanya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tiada Cara lain saya cadangkan gugur ph Haramkan semua bawa Heret AG ke Muka kehakiman yg Lebih tinggi

Comments are closed.