Mohd Aquil Wan Zainal Abidin atau dikenali sebagai Akel Zainal yang menyertai kumpulan militan IS di Syria disahkan terbunuh dalam serangan udara di negara itu, awal tahun ini.

KUALA LUMPUR – Bekas anggota kumpulan rock Ukays, Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin atau dikenali sebagai Akel Zainal yang menyertai kumpulan militan IS di Syria disahkan terbunuh dalam serangan udara di negara itu, awal tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata berdasarkan maklumat yang diterima daripada rakan sejawatannya serta sumber rakyat Malaysia di Syria, Akel Zainal, 39, dan seorang lagi militan Daesh, Mohd Rafi Udin, 53, maut dalam serangan udara Rusia di Syria pada Januari dan Mac lepas.

“Kami menerima maklumat bahawa rumah Akel di Baghouz terkena serangan bom dari udara pada Mac lalu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata turut terbunuh dalam serangan udara itu ialah isteri Akel Zainal dan dua anaknya berusia dua serta tiga tahun selain seorang pejuang IS warga Belgium.

Akel Zainal dilaporkan menyertai IS sejak tercetusnya konflik di Syria malah turut ke sana untuk menyertai perang sejak 3 Jan 2014.

Dia dipercayai pejuang IS dari Malaysia paling kanan yang bergerak di Syria dan telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa Malaysia sebagai individu yang bertanggungjawab dalam beberapa rancangan untuk melakukan serangan keganasan di dalam negara.

Ayob Khan berkata Mohd Rafi Udin yang juga dikenali sebagai Abu Awn Al-Malizi merupakan bekas pengikut kanan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) maut dalam serangan udara Rusia pada Januari lepas.

Mohd Rafi menyertai Jemaah Islamiyah (JI) sebelum ke Syria untuk menyertai IS dan pernah muncul dalam video IS pada 2016 dengan menyeru serangan terhadap kerajaan sekular dan pemimpinnya.

— BERNAMA