Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe ketika sesi latihan bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Padang Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe telah mengatur strategi terbaik agar Sang Gajah Perang mampu ditumbangkan oleh barisan pemain negara menjelang aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Beliau turut menagih bantuan dari penyokong pasukan negara demi meningkatkan motivasi pemain agar barisan pemainnya bersemangat untuk turun ke padang melaksanakan misi menewaskan Thailand.

“Kita perlu tahu bagaimana hendak menghentikan mereka apatah lagi mereka dibarisi pemain hebat di bahagian serangan seperti Teerasil Dangda, Ekanit Panya, Chanathip Songkrasin dan Suphachok Sarachat. Sudah semestinya mereka bermain dengan laju.

“Kita menekankan pendekatan untuk tidak mudah kehilangan bola dan cepat ‘recover’ sekiranya kehilangan bola. Kita mesti tingkatkan serangan lebih berkualiti kerana Thailand juga memiliki pertahanan yang baik,” katanya kepada Arena Metro.

Di atas kertas, jurang perbezaan kemampuan pasukan sememangnya ketara apabila Thailand berada di kedudukan ke-109 dunia.

Skuad bola sepak kebangsaan negara pula menduduki tangga ke-159 di dalam senarai yang dikeluarkan oleh FIFA.

Apatah lagi baru menang sekali dan tewas dua perlawanan sebelum ini, Cheng Hoe amat menyedari kepentingan untuk mengutip mata penuh dalam perlawanan menentang Thailand, diikuti Indonesia lima hari kemudian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast