Simon McMenemy

JAKARTA – Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) terpaksa membayar jumlah pampasan yang besar kepada Simon McMenemy selepas membuat keputusan untuk memecat pengendali dari Scotland itu.

Badan induk bola sepak Indonesia itu sebelum ini memutuskan akan melepaskan McMenemy dari jawatan beliau selepas perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia pada 19 November ini.

Keputusan tersebut diambil selepas keputusan mengecewakan Indonesia di pusingan kelayakan apabila tewas semua perlawanan setakat ini.

Namun PSSI terpaksa mengeluarkan jumlah yang banyak untuk menebus kontrak McMenemy selepas dilantik selaku pengendali skuad Garuda pada Disember 2018 untuk kontrak selama dua tahun.

Menurut laporan dari Fox Sports Asia, dia dibayar sekitar US$20,000 (RM83,000) sebulan dan melepaskan McMenemy, PSSI terpaksa membayar tidak kurang dari US$260,000 (RM1.08 juta).

Presiden PSSI yang baharu sahaja memegang tampuk pengurusan, Mochammad Iriawan mengakui memecat McMenemy ibarat satu perjudian.

“Ia sememangnya satu risiko berkaitan kontrak, dan ia tidak boleh ditukar ganti. Kami harus memilih diantara memburu pencapaian atau pun wang,” ujar beliau.

Bekas jurulatih, Luis Milla dan bekas Ketua Jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong kini menjadi calon untuk menggantikan McMenemy. – MalaysiaGazette