Seorang wanita warga Thailand yang dipercayai menawarkan khidmat seks atau pelacur di sebuah hotel di Jelutong di sini terkencing di dalam seluar selepas pintu biliknya dipecahkan kerana terlalu takut dengan serbuan pasukan polis malam tadi.

GEORGE TOWN – Seorang wanita warga Thailand yang dipercayai menawarkan khidmat seks atau pelacur di sebuah hotel di Jelutong di sini terkencing di dalam seluar selepas pintu biliknya dipecahkan kerana terlalu takut dengan serbuan pasukan polis malam tadi.

Dalam Op Noda yang dijalankan pukul 9 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang, wanita berusia 26 tahun itu enggan memberi kerjasama apabila anggota polis mengetuk pintu biliknya untuk melakukan pemeriksaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata pasukan serbuan itu terpaksa menunggu hampir sejam untuk memujuk wanita tersebut supaya membuka pintu biliknya namun dia tidak mempedulikan arahan dan hanya menangis di dalam bilik berkenaan.

“Bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis menyerbu hotel itu berikutan terdapat kegiatan tidak bermoral yang dilakukan di situ dan kami terpaksa memecahkan pintu bilik hotel wanita tersebut sebelum menemui wanita berkenaan dalam keadaan ketakutan,” katanya di sini hari ini.

Katanya selain wanita itu, polis turut menahan sembilan lagi wanita warga asing yang bekerja sebagai pelacur di hotel tersebut terdiri daripada lima wanita Thailand, dua Indonesia dan dua Vietnam.

Zainol berkata semasa serbuan dijalankan, ada di antara wanita warga asing itu sedang melayan pelanggan mereka di bilik masing-masing dalam keadaan bogel.

Menurutnya siasatan awal mendapati mereka mengenakan bayaran bermula RM200 untuk perkhidmatan seks selama 45 minit dan pelacur tersebut mencari pelanggan melalui aplikasi WeChat.

“Ekoran penahanan 10 wanita warga asing itu, polis menjumpai berpuluh-puluh kondom termasuk yang telah digunakan dan minyak pelincir di setiap bilik pelacur berkenaan,” katanya.

Katanya polis turut merampas sejumlah wang tunai dipercayai hasil kegiatan pelacuran yang dipercayai telah menjalankan aktiviti tersebut di hotel berkenaan sejak beberapa minggu lepas.

Beliau berkata semua wanita yang berusia antara 22 hingga 30 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan kegiatan persundalan.

— BERNAMA