KUALA LUMPUR- Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.4 peratus pada suku ketiga 2019, susut sedikit berbanding 4.9 peratus pada suku sebelumnya (4.4 peratus S32018).
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus menjelaskan, ekonomi negara bagaimanapun masih di atas landasan untuk mencapai sasaran KDNK di antara 4.3 peratus hingga 4.8 peratus tahun ini.
Setakat sembilan bulan pertama tahun ini, ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 4.6 peratus.
Menurut beliau, prestasi sederhana bagi suku ketiga disumbang oleh kelemahan semua sektor utama.
Sektor perlombongan dan pembinaan mengalami kemuncupan masing-masing pada kadar -4.3 peratus dan -1.5 peratus.
Sektor perkhidmatan pula menyusut kepada 5.9 peratus berbanding 6.1 peratus pada suku sebelumnya manakala pengeluaran menurun kepada 3.6 peratus (4.3 peratus S22019) dan pertanian jatuh kepada 3.7 peratus (4.2 peratus S22021).
“Kepelbagaian ekonomi yang dimiliki oleh Malaysia telah membantu negara mengurangkan impak tekanan yang lebih mencabar.
“Perbelanjaan swasta kekal mapan ditambah dengan pasaran buruh yang terus berkembang.
“Ini akan terus memberikan sokongan kepada ekonomi,” katanya ketika taklimat media mengumumkan prestasi ekonomi suku ketiga di sini hari ini.
Purata inflasi keseluruhan pada suku ketiga adalah lebih tinggu terutamanya disebabkan kesan kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan pada Jun hingga September 2018 telah luput.
Inflasi teras yang tidak mengambil kira kesan daripada perubahan dasar cukai penggunaan, kekal stabil pada 1.5 peratus.
Purata inflasi dijangka lebih tinggi tahun depan tetapi masih kekal sederhana.
Ringgit pula menyusut sebanyak 1.1 peratus berbanding dolar AS.
Ini disebabkan kegiatan menghindar risiko yang kian ketara dalam pasaran global akibat perang perdagangan AS-China yang semakin menegang.- MalaysiaGazette