JAKARTA – Indonesia mengakui terlewat dalam membangunkan kewangan Islam dalam ekonomi dan sistem kewangannya, mahu mempelajarinya dari Malaysia.
Malah, negara itu mensasarkan untuk menjadi pusat kewangan Islam terbesar di dunia suatu hari nanti.
Menteri Kewangannya, Sri Mulyani Indrawati berkata, Indonesia hanya memperkenalkan enakmen undang-undang perbankan Syariah pada tahun 1998.
Manakala sukuk global Syariah pula dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lalu dan insurans berasaskan Islam pula beberapa tahun ini.
“Walaupun lewat tetapi Indonesia boleh mempelajari dari Malaysia bagaimana negara itu memperkenalkan instrumen-instrumen Syariah dengan begitu pragmatik.
“Kerajaan Malaysia tidak membezakan jumlah cukai antara konvensional dan Syariah. Inilah yang diikuti oleh Indonesia.
“Kami berbuat demikian kerana tidak mahu pengenalan instrumen Syariah akan menyebabkan kerugian,” katanya semasa menjadi panel di Forum Sidang Kemuncak Kali Ke-14 Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB).
Sehubungan itu, instrumen Syariah ini tidak dipertimbangkan sebagai instrumen yang perlu membayar cukai yang lebih berbanding konvensional.
Sri Mulyani berkata, Indonesia juga akan terus menambah baik instrumen perkhidmatan berasaskan Syariah termasuk pelaburan sukuk yang telah mula menyaksikan peningkatan permintaan. – MalaysiaGazette