Sarjana Syariah, Dr. Shaikh Nizam Yaqubi bercakap pada Sidang Kemuncak Ke-14 Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) 2019 di Pusat Konvensyen Jakarta, Indonesia. foto SYAFIQ AMBAK, 14 NOVEMBER 2019

JAKARTA – Para sarjana Islam tidak pernah menolak revolusi teknologi inovasi dalam sistem kewangan Islam meskipun perkara-perkara sensitif membabitkan isu syariah sentiasa diperdebatkan.

Ahli Sarjana Syariah, Dr. Shaikh Nizam Yaqubi berkata, ledakan teknologi kewangan sedang berlaku dengan pesat dan tiada ada gunanya untuk menyanggah penggunaannya, sebaik-baiknya ia dimanfaatkan dengan betul.

Paling penting, menurut Shaikh Nizam, persepsi buruk tentang teknologi kewangan perlu diperbetulkan sebelum penggunaan inovasi teknologi digunakan sepenuhnya dalam kewangan Islam.

Sambil memberi contoh, beliau berkata, masyarakat Arab Saudi menolak radio sebagai sumber komunikasi dan maklumat awam.

“Memiliki radio di Arab Saudi awalnya adalah haram, apatah lagi mendengar radio. Tetapi apabila penggunaan radio semakin meluas ketika radio disediakan dalam kenderaan, maka lama-kelamaan persepsi masyarakat terhadap radio berubah.

“Begitu juga semasa Arab Saudi menerima televisyen. Sampai pada satu peringkat ada ibu bapa tidak mahu anak-anak mereka berkahwin dengan anak yang rumahnya ada televisyen atas alasan haram.

“Tetapi apabila semakin banyak rumah ada televisyen, persepsi tentang alat itu berubah sama sekali. Begitu juga teknologi inovasi dalam kewangan Islam, sejauh manakah kita mampu menolaknya?,” katanya pada Forum Sidang Kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) kali ke-14 yang diadakan di sini.

Bercakap pada forum bertajuk Teknologi dan Inovasi Baru Muncul Dalam Kewangan Islam: Peluang dan Risiko, Shaikh Nizam berkata, masyarakat Islam perlu diberi pemahaman jelas mengenai definisi dan kepentingan teknologi inovasi dalam sistem kewangan supaya mereka boleh belajar menerimanya.

“Kita tidak mampu menolak revolusi teknologi yang terkini, pantas dan dinamik. Malah, jika tidak menerimanya, ia akan memberi kesukaran pada masa depan,” ujarnya yang mengesyorkan agar prosedur, standard dan prinsip di dalam teknologi kewangan ditambah baik agar ia mematuhi syariah.

Dalam pada itu, Shaikh Nizam juga meminta pengawas-pengawas selia kewangan turut menangani ledakan teknologi kewangan yang telah menjejaskan tenaga kerja dunia.

“Sejak adanya teknologi kewangan seperti e-dagangan, big data, pendanaan massa (crowdfunding), jumlah kaunter-kaunter bank semakin kecil.

“Kalau semuanya dilakukan teknologi, apa jadinya dengan manusia,” katanya. – MalaysiaGazette