KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menaikkan penanda aras simpanan asas baharu sebanyak RM390,000 pada Januari 2028 berbanding RM240,000 pada masa ini.
Penanda aras itu diumumkan pada pelancaran Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA 1 ), bertujuan menyediakan panduan komprehensif untuk perbelanjaan bulanan serta mengemaskini tahap simpanan yang disyorkan daripada penanda aras simpanan satu tahap kepada kerangka simpanan tiga tahap.
Menurutnya, bagi melaksanakan peralihan secara berfasa, jumlah simpanan asas akan dinaikkan secara berperingkat sebanyak RM50,000 setiap tahun untuk tempoh tiga tahun iaitu RM290,000 menjelang 1 Januari 2026 dan RM340,000 pada 1 Januari 2027 serta RM390,000 menjelang 1 Januari 2028
KWSP berkata, bakal dilancarkan pada Januari 2026, Rangka Kerja RIA membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup dan aspirasi persaraan berbeza.
Pendekatan ini menekankan kepentingan melihat simpanan KWSP sebagai sumber pendapatan berterusan, membantu ahli memahami simpanan yang mereka perlukan untuk menyara diri di usia persaraan.
Rangka Kerja RIA yang menumpukan kepada konsep simpanan dan jaminan pendapatan persaraan memperkenalkan kerangka simpanan tiga tahap.
Simpanan dan pendapatan asas, untuk menampung keperluan persaraan; Simpanan dan pendapatan mencukupi mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa persaraan; dan simpanan dan pendapatan dipertingkat, untuk menyokong keselamatan dan kebebasan kewangan yang lebih tinggi untuk kualiti hidup yang lebih baik.
Berdasarkan Belanjawanku 2024/2025, seorang warga emas tiada pasangan memerlukan kira-kira RM2,690 sebulan (pendapatan persaraan mencukupi) untuk mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa bersara.
Rangka Kerja RIA dengan tiga tahap baharu akan disandarkan pada pendapatan persaraan mencukupi seperti yang ditentukan dalam Belanjawanku dari semasa ke semasa iaitu simpanan mencukupi ditetapkan pada 240 kali ganda pendapatan persaraan mencukupi, dibundarkan ke bawah kepada RM10,000 terdekat (RM650,000).
Simpanan asas iaitu 60% daripada jumlah simpanan mencukupi (RM390,000) dan simpanan dipertingkat iaitu 200% daripada jumlah simpanan mencukupi (RM1.3 juta).
Rangka kerja ini menggalakkan pengeluaran bulanan selama 20 tahun, sejajar dengan purata jangka hayat di Malaysia.
Sebagai gambaran, tahap simpanan yang berbeza akan diterjemahkan seperti berikut pada umur persaraan iaitu simpanan mencukupi (RM650,000) membolehkan pengeluaran bulanan bermula pada RM2,708 di tahun satu, meningkat kepada RM7,389 menjelang tahun 20.
Simpanan asas (RM390,000) pula menyokong pengeluaran bulanan sebanyak RM1,625 di tahun satu, meningkat kepada RM4,434 menjelang tahun 20.
Manakala simpanan dipertingkat (RM1.3 juta) pula menyediakan pengeluaran bulanan sebanyak RM5,417 di tahun satu, meningkat kepada RM14,779 menjelang tahun 20 untuk persaraan yang lebih selesa.
Katanya, pendekatan ini menekankan kepentingan melihat simpanan KWSP sebagai sumber pendapatan berterusan, membantu ahli memahami simpanan yang mereka perlukan untuk menyara diri di usia persaraan. – MalaysiaGazette