Mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu diperkukuhkan dalam kalangan pelajar bagi memastikan generasi muda tidak ketinggalan dengan revolusi teknologi. Gambar hiasan

TATKALA semua pihak bercakap tentang Revolusi Industri (IR 4.0), kecerdasan pembuatan (AI), Internet of Things (IoT) serta keperluan untuk menggarap kemahiran dalam pelbagai bidang sains dan teknologi yang pesat membangun, kita dikejutkan dengan kenyataan bahawa generasi muda kurang meminati bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Menurut Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, minat golongan muda terhadap bidang kritikal dan penting ini menunjukkan trend
penurunan yang membimbangkan.

Jika benarlah kenyataan ini maka negara bakal menghadapi masalah yang cukup besar dalam memeta hala tuju pembangunan dan kemajuan seperti yang diimpikan. Ironinya kita bukan baru hendak menuju ke zaman yang serba canggih sebaliknya kita sudah pun berada dalam zaman tersebut. Misalnya pada hari ini, dalam sektor industri terutamanya di negara-negara maju perkembangan IR 4.0 dan AI telah membolehkan mesin dan robot mula mengambil alih kerja-kerja yang dibuat oleh manusia selama ini.

Dan kita khuatir dan bimbang memikirkan pada masa akan datang apatah lagi perubahan yang bakal dibawa oleh kemajuan bidang sains dan teknologi ini dalam kehidupan seharian manusia. Justeru kalau generasi akan datang tidak bersedia dengan sebaiknya, maka mereka akan ketinggalan jauh dan ini akan merugikan negara.

Jadi kita tidak boleh berdiam diri sekiranya golongan muda kelihatan menjauhkan diri dari bidang STEM ini. Ibu bapa dan semua kementerian yang terbabit perlu melihat isu ini dengan lebih serius supaya dapat dibuat langkah-langkah drastik dengan segera agar boleh memupuk minat anak-anak terhadap pendidikan STEM. Antara langkah awal yang perlu diambil ialah pihak kerajaan wajar membuat kajian yang terperinci tentang perkara ini bagi merungkai beberapa persoalan yang mungkin tidak diketahui sebelum ini.

Sudah semestinya kita mahu tahu beberapa jawapan tentang perkara ini antaranya, punca-punca kenapa golongan muda tidak meminati bidang ini serta apakah sistem dan kaedah pengajaran dan pembelajaran silibus pendidikan bidang ini sedang digunapakai terutamanya di sekolah tidak begitu memberangsangkan, menggalakkan minat serta mencetuskan rasa seronok dan teruja pelajar terhadap bidang ini. Ini antara persoalan yang agak menarik untuk diteliti secara mendalam sebelum kita membuat sebarang rumusan secara
menyeluruh.

Dalam konteks ini, respon, pandangan dan cadangan dari pemegang taruh utama yang terlibat secara langsung dalam perkara ini iaitu, pelajar, guru dan ibu bapa amat penting. Justeru mereka perlu menjadi responden utama kajian ini. Setelah habis kajian dan bila sudah ada dapatan kajian barulah pihak kerajaan boleh merangka pelan jangka pendek dan juga jangka panjang untuk menjenamakan semula pendidikan STEM agar boleh menjadi pilihan utama golongan muda baik di sekolah mahupun di universiti. Hal ini demikian kerana tidak mungkin kita boleh menuai hasil secara mengejut dan tiba-tiba, justeru jika mahu melahirkan lebih ramai modal insan yang profesional dan berlatar belakang bidang STEM ianya memerlukan perancangan yang cukup teliti dan rapi.

Dalam hal ini penulis juga ingin menarik perhatian pihak kerajaan untuk melihat semula apa telah berlaku dengan Pelan Tindakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Nasional 2017-2025 yang telah dirangka oleh pihak kerajaan terdahulu. Masyarakat pasti berminat untuk mengetahui status pelaksanaan dan pencapaian pelan tindakan tersebut. Secara prinsipnya penulis mencadangkan kerajaan melakukan kajian dengan segera, serta meneliti status pelan 2017-2025 seterusnya membentuk Dasar STEM Nasional dan pelan tindakan yang baru bagi memacu kemajuan bidang ini.

Dalam pada itu ibu bapa juga boleh memainkan peranan yang signifikan bagi membantu meningkatkan bilangan pelajar yang mengikuti aliran STEM. Ibu bapa dan ahli keluarga perlu menjadi faktor penggalak dan pendorong kepada minat anak-anak. Sebagai individu yang paling rapat dengan anak-anak, ibu bapa boleh memberi penerangan serta memujuk anak-anak menceburkan diri dalam bidang ini. Terangkanlah kelebihan dan keistimewaan bidang ini terutamanya untuk masa depan mereka.

Manakala di sekolah pula para guru boleh turut memainkan yang sama agar anak murid masing-masing akan memilih aliran ini sebagai pilihan pertama. Hal ini sangat mustahak terutamanya jika pihak kerajaan meneruskan cadangan pelajar Tingkatan Empat tahun depan tidak lagi dibahagikan atau dibezakan mengikut aliran sastera dan sains, tetapi mereka akan dibenarkan memilih subjek mengikut minat mereka. Melalui cadangan baru ini jika guru terutamanya guru kaunseling tidak memberi nasihat yang betul kita khuatir bilangan pelajar yang memilih subjek STEM akan terus menurun dengan lebih ketara.

Hakikatnya jumlah pelajar dalam aliran STEM yang semakin menurun boleh memberi implikasi kepada universiti dan politeknik atau institusi latihan kemahiran yang bertujuan menghasilkan sumber manusia mahir dan separa mahir seperti jurutera, juruteknik, arkitek, saintis atau penyelidik. Jika ini berlaku, penawaran bakat dan modal insan untuk sektor pekerjaan yang bersandarkan kepada bidang STEM akan terjejas teruk. Malah penawaran sumber manusia melebihi permintaan dalam bidang sastera dan sains sosial pula akan menyumbang kepada kadar pengangguran yang tinggi. Akhirnya ia boleh memberi implikasi yang cukup teruk terhadap impian negara untuk menjadi negara maju acuan sendiri menjelang tahun 2030.

Justeru besarlah harapan kita agar masalah penurunan bilangan pelajar STEM ini dapat ditangani dengan strategi jangka pendek dan jangka panjang yang berkesan. Sudah tiba masanya diwujudkan dasar dan pelan tindakan yang komprehensif
tentang STEM yang merangkumi transformasi dan penambahbaikan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran serta proses penjenamaan semula STEM secara keseluruhannya. – MalaysiaGazette

Penulis adalah Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM