PONTIAN – Kekecohan berlaku di luar Pusat Mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Mung 1, apabila seorang lelaki cuba melakukan provokasi terhadap penyokong Pakatan Harapan (PH).

Lelaki berusia lingkungan 40an itu membawa plakad berwarna kuning yang dipasang pada badan dengan tertera perkataan ‘PH Janji Kosong’.

Kejadian berlaku pukul 11 pagi tadi apabila lelaki terbabit yang melalui sekumpulan penyokong PH diherdik dan dimarahi ekoran tindakannya itu.

Bagaimanapun, tindakan lelaki tersebut mendapat sorakan daripada penyokong dan juga jentera Barisan Nasional (BN) yang turut berada di luar pusat mengundi.

Polis yang menyedari insiden tersebut telah mengejar lelaki berkenaan dan diminta dia menanggalkan plakad tersebut bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku kepada dirinya.

Lelaki itu tidak ditahan sebaliknya, polis meminta dia beredar dari kawasan berkenaan.

Keadaan kembali reda selepas dikawal oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang dikerahkan ke lokasi kejadian.

Difahamkan, insiden sama turut berlaku di PDM Teluk Kerang dan sehingga berita ini ditulis tiada maklumat terbaru diketahui. – MalaysiaGazette