Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan sesuatu kepda penyokong selepas menerima kekalahan Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Bilik Gerakan Utama Kampung Rambah, Johor. foto AFFAN FAUZI, 16 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan Johor menerima kekalahan besar serta akur dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 15,086 undi.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan ringkas mengakui kekalahan itu juga merupakan satu isyarat daripada pengundi yang akan diambil serius oleh kerajaannya selepas ini.

“Mengambil kira kekalahan ini, Pakatan Harapan perlu kembali semula ke paparan lakaran untuk menilai dasar, pendekatan dan prestasi parti dan kerajaan yang telah menyumbang kepada rasa tidak puas hati rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama pemimpin PH Johor yang terdiri daripada Syed Ibrahim Syed Noh (PKR), Aminolhuda Hasan (Amanah), Senator Liew Chin Tong (Parti Tindakan Demokratik) dan Mazlan Bujang (Badan Pimpinan Bersatu Negeri Johor).

Terdahulu Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu ketika diminta mengulas tentang kekalahan ini oleh pemberita di pusat pengiraan undi hanya sekadar mengatakan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan sahaja.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng muncul pemenang kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti lebih besar iaitu 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya.

Pesaing terdekatnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini mendapat 10,380 undi, manakala calon GERAKAN, Wendy Subramaniam dengan 1,707 undi.

Tiga lagi calon iaitu Presiden BERJASA, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperoleh 850 dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32 undi).

Jumlah undi diperoleh itu bermakna calon GERAKAN, BERJASA dan dua calon Bebas hilang wang deposit. –MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sudah-sudah laa YB. Tak payah nak post mortem. Dah terang lagi bersuluh. Rakyat berbilang kaum telah bangkit !! Hidup rakyat, kuburkan PH bersama barisan semua baduk-baduk pimpinan PH.

Comments are closed.