Tiga individu membuat laporan polis mendakwa nama mereka telah dipotong dan tidak dapat membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

PONTIAN – Polis mengesahkan telah menerima tiga laporan polis berhubung dakwaaan pengundi tidak dapat mengundi kerana kad pengenalan mereka telah digunakan oleh individu yang tidak dikenalpasti.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh mengesahkan penerimaan laporan polis itu ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian itu dilaporkan berlaku di tiga lokasi berasingan iaitu di Pusat daerah Mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Bunyi, SMK Sri Kukup dan Sekolah Kebangsaan Sungai Boh.

“Kesemua pengadu telah memaklumkan perkara ini kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya bertugas dan dinasihati membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya petang tadi.

Dalam pada itu Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun ketika dihubungi MalaysiaGazette juga mengesahkan tiga laporan polis berhubung insiden itu hari ini.

“Ada tiga kes sedang disiasat,” katanya.

Ditanya seksyen yang melibatkan siasatan SPR, Azhar Azizan berkata,” tiada seksyen terperinci dalam siasatan berkenaan, hanya tiga laporan polis diterima meminta siasatan dibuat,”.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan butiran mengenai kes tersebut.

Terdahulu sebuah video tular di media sosial termasuk Twitter.

Video berdurasi 25 saat itu menunjukkan tiga individu dipercayai pengundi muncul bersama laporan polis mereka.

VIDEO: 

Dua daripadanya adalah wanita Melayu dan seorang lagi merupakan pengundi lelaki Cina dan usia ketiga tiga pengundi itu boleh dianggarkan sekitar 60 tahun dan ke atas.

Salah seorang pengundi wanita mendakwa mereka datang untuk mengundi tetapi setibanya di pusat mengundi nombor kad pengenalan dan nama mereka telah dipotong menandakan mereka telah mengundi

“Kami mahu hak kami sebagai pengundi, jari kami belum ada tanda kami mengundi, maknanya adakah pengundi hantu?” soal wanita bernama Rihannad Soha, 62, selepas ketiga-tiga mereka membuat laporan polis sekitar 12 tengahari tadi di Balai Polis Permas hari ini. – MalaysiaGazette