Calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng mengangkat tangan bersama Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid serta barisan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional dan PAS selepas beliau diumum menang bagi Pilihan Raya Kecil P. 165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan, Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 16 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Pakatan Harapan gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai yang pernah dirampas daripada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum 14 lalu pada Pilihan Raya Kecil hari ini.

Kekalahan itu memberi mesej yang sangat jelas kepada kepimpinan kerajaan PH menerusi kertas undi.

Calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Karmaine Sardini, 66, yang merupakan seorang imam masjid, tewas kepada calon BN, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng dengan majoriti 15,086 undi.

Dalam persaingan sengit antara dua parti musuh tradisi itu, Karmaine memperolehi sebanyak 10,380 undi manakala Wee Jeck Seng yang pernah menyandang kerusi itu selama dua penggal antara 2008 hingga 2018 memperolehi sebanyak 25,466 undi.

Calon Gerakan Wendy Subramaniam memperolehi 1,707 undi diikuti Calon Berjasa Dr Badrulhisham Abdul Aziz 850 undi manakala dua calon bebas,dua calon bebas Dr Ang Chuan Lock yang juga pengetua pusat tuisyen serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar masing masing memperolehi 380 dan 32 undi.

Majoriti yang diperolehi BN kali ini adalah dua kali ganda berbanding sasaran asal 7,000 undi majoriti yang ditetapkan MCA.

Keputusan itu melebarkan rekod kekalahan Pakatan Harapan kepada empat Pilihan Raya Kecil sejak membentuk kerajaan Pusat 18 bulan lalu pada 9 Mei 2018.

Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim 10 malam tadi.

Dalam pada itu, ribuan penyokong BN turut berkumpul di pekarangan luar pusat penjumlahan undi rasmi berkenaan bagi meraikan kemenangan itu dengan mengibarkan bendera parti dengan sorakan hidup BN.

Keadaan dalam terkawal dengan sebanyak 1,384 anggota keselamatan polis yang terdiri daripada anggota trafik, siasatan jenayah, Cawangan Khas serta Pasukan Tindakan Ringan (LSF) berada di kawasan tersebut.

Sebelum ini Pakatan Harapan tewas kepada BN di PRK Kecil Parlimen Cameron Highlands, DUN Rantau, DUN Semenyih.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya Dr. Md Farid Md Farik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

Arwah Farid berjaya menumbangkan Jeck Seng dari BN pada PRU14 lalu dengan majoriti 524 undi sekali gus menamatkan status kerusi itu yang dikenali sebagai kubu kuat BN selama ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.