Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (kiri) bersama Pengerusi NGO IKATAN, Tan Sri Lee Lam Thye (kanan) melakukan pertolongan cemas sebagai gimik Majlis Pelancaran Pertubuhan IKATAN Komuniti Selamat (IKATAN) di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kekalahan teruk Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai tidak boleh diletakkan atas bahu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semata-mata.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, Mahathir yang juga Pengerusi PH tidak wajar dikecam kerana kekalahan itu perlu dipukul bersama dalam kalangan parti komponen.

Tegas beliau, bukan setakat presiden parti, semua menteri kabinet perlu bertanggungjawab.

“Semua pihak perlu bertanggungjawab jawab dan tidak boleh kecam Tun sahaja. Menteri kabinet dan semua presiden parti komponen PH perlu memikul tanggungjawab bersama termasuk presiden PKR,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan keselamatan iaitu Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN) di Ampang hari ini.

Turut hadir, Pengasas IKATAN, Tan Sri Lee Lam Thye.

Mengulas lanjut ditanya samada Mahathir akan menerima tekanan lebih kuat untuk melepaskan jawatan perdana menteri selepas ini, Zuraida berkata, Pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) itu telah menerima tekanan lebih teruk sebelum ini.

“Saya memang rasa kecewa dan dukacita dengan kekalahan PH di Tanjung Piai tapi saya percaya keputusan itu bukan satu referendum rakyat kerana kerajaan baharu serta baru setahun setengah mentadbir kerajaan.

“Kita belum sempat tadbir secara menyeluruh namun kita perlu tingkatkan jentera pilihan raya PH yang agak lemah, medium kepada rakyat yang belum luas serta ambil ikhtibar daripada kekalahan di Tanjung Piai,” katanya yang yakin PH akan mentadbir negara lebih lama.

Semalam, Parlimen Tanjung Piai kembali menjadi milik Barisan Nasional apabila calonnya Datuk Seri Wee Jeck Seng memperoleh 25,466 undi menewaskan calon PH, Karmanie Sardini yang meraih 10,380 undi.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik, 42, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU-14 Mei tahun lalu, Allahyarham Md. Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

PRK Tanjung Piai ini adalah pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14 pada Mei tahun lalu. – MalaysiaGazette