Ahmad Idham.

KUALA LUMPUR – Satu akta perlu diwujudkan untuk mengawal selia kandungan filem atau program yang disediakan di platform digital terutama video atas permintaan (VOD) atau penyedia penstreaman video.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, tindakan itu perlu memandangkan kandungan digital seperti Netflix tidak ditapis selain mempunyai rangkaian yang lebih meluas berbanding rangkaian televisyen tempatan.

“Kalau kita kawal kandungan di platform media tempatan sahaja tetapi kandungan (dalam talian) program antarabangsa terbuka kepada sesiapapun, ia akan tetap merisikokan pembangunan minda anak-anak kita.

“Ia akan bertentangan dengan arah tuju Finas dalam menghasilkan kandungan yang mana kita perlu menerapkan nilai kekeluargaan, identiti, budaya dan nilai murni lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keluarga Sejahtera 2019 di sini semalam.

“Kita buat pelbagai inisiatif untuk menjaga kandungan tapi jika kita ada platform yang dedah apa sahaja, yang kita sendiri tak kawal, akhirnya tiada siapa nak tengok kandungan (televisyen) kita kerana banyak sekatan walhal ada sebab kita tapis,” jelasnya.

Ahmad Idham berkata pihak kini merancang untuk memperbanyakkan program dan kempen dalam memberi kesedaran serta mendidik pemain industri tentang kepentingan tanggungjawab bersama memaparkan kandungan yang boleh menjana minda masyarakat.

Pihaknya juga bercadang untuk melakukan program libat urus dengan masyarakat agar mereka memahami tentang kepentingan untuk mengawal kandungan filem dan program yang disiarkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast