Baddrol Bakhtiar

BANGI – Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar memberi isyarat ‘tabik’ kepada penganjuran Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) kali ini yang disifatkan semakin berprestij.

Pemain berpengalaman ini mengakui bahawa ABK 2019 adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan beberapa tahun terdahulu.

Dia juga menyatakan ABK kini semakin menjadi pemangkin kepada semua pemain untuk memotivasikan diri ketika beraksi dalam Liga Malaysia.

“Penganjuran kali ini begitu berprestij melalui kehadiran lebih ramai tetamu jemputan, pemain-pemain dan peminat, maka sambutan tahun ini bagi saya adalah terbaik.

“Saya mengharapkan tahun depan, ABK akan lebih menarik dan meriah serta semakin baik penganjurannya.

“ Ini salah satu motivasi untuk pemain-pemain dalam liga tempatan beraksi lebih baik untuk mendapatkan anugerah ABK pada tahun-tahun akan datang,” katanya selepas berakhir ABK2019 pada malam Jumaat lalu.

Sementara itu, anak didik Aidil Sharin Sahak ini juga berterima kasih kepada para penyokong Kedah sehingga dia dan ramai rakan sepasukan dipilih dalam anugerah pilihan peminat dalam kategori pilihan FansXI.

“Pertama sekali saya berterima kasih kepada penyokong yang mengundi ramai pemain Kedah dalam kategori ini.

“Saya mengharapkan tahun hadapan ada persaingan yang lagi sengit untuk pasukan Kedah serta pemain negeri lain juga bagi pilihan FansXI, ” katanya.

Selain Baddrol, Ifwat Akmal Chek Kassim, Rizal Ghazali,Shakir Hamzah dan Renan Alves dipilih dalam 11 pemain pilihan selain Aidil Shahrin Sahak selaku jurulatih pilihan.

Dalam pada itu, Baddrol mengakui kehadiran ramai legenda bola sepak juga menjadi antara tarikan utama pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019.

Kehadiran mereka sedikit sebanyak menjadi penyeri serta semangat kepada pemain-pemain yang sebelum ini menjadikan legenda-legenda ini sebagai idola mereka pada satu masa dahulu.

“Mungkin itu satu semangat juga dengan kehadiran legenda-legenda bola sepak yang kita kenal sebelum ini sebagai idola kepada kami.

“Malam ini kita boleh berjumpa serta menerima nasihat serta tips daripada mereka, jadi saya berharap tahun hadapan mungkin ada lagi legenda yang akan dijemput di ABK,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette