Pesawat Airbus, A330-900 neo
Pesawat Airbus, A330-900neo milik Air Caledonie International.

NOUMEA, New Caledonia – Air Caledonie International (Aircalin,) merancang memulangkan salah sebuah pesawat Airbus, A330neo, miliknya kepada pembuat pesawat itu berikutan bau yang kurang menyenangkan dalam kabin.

Pesawat tersebut merupakan salah sebuah pesawat A330-900neo yang dikendalikan Aircalin yang diterima pada September lalu, lapor samchui.com.

Pesawat yang digantung operasi selama dua minggu itu akan diterbangkan ke Toulouse, Perancis tidak lama lagi untuk diperiksa jurutera Airbus bagi memastikan punca bau tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Aircalin, Didier Tappero memberitahu media bahawa ‘ia berbau seperti stokin basah dan anak kapal berulang kali rasa tidak selesa semasa pesawat berlepas dan ketika fasa mendarat’.

Simtomnya termasuk pening, muntah dan sakit kepala semasa dan selepas penerbangan.

Para jurutera mengumpulkan sampel udara kabin untuk laporan dianalisis ke Airbus, yang mana ia mendapati kualiti udara dalam kabin adalah biasa dan mematuhi garis panduan antarabangsa. – Agensi