Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai tidak akan mencapai kemenangan sekiranya tanpa penglibatan pelbagai parti politik dalam gabungan Muafakat Nasional, kata presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong.

“Kemenangan BN di Tanjung Piai merupakan muafakat semua rakyat, tidak mungkin kalau dapat sokongan dari satu kaum tak kira Melayu, India dan Cina, muafakat bermaksud kebersamaan, ada haluan sama,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Pada Sabtu lalu, MCA berjaya merampas semula kerusi Tanjung Piai daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila calonnya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi berbanding calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Saidini yang memperoleh 10,380 undi.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, kemenangan BN di Tanjung Piai membuktikan gabungan pembangkang mempunyai hala tuju yang sama tidak kira dalam gabungan BN mahupun Muafakat Nasional yang dikemudi UMNO dan Pas.

“Ada permikiran seperti itu, ada haluan sama, sebab itu boleh lihat sesuatu di luar jangkaan.

“Bagi saya, tak kira atas nama setiakawan BN, atau Muafakat Nasional, atau solidariti pembangkang, bagi saya yang penting kita tetap perjuangkan nasib rakyat,” katanya lagi.

Pada sidang media sama, Jeck Seng berkata, beliau akan sedaya upaya mengetengahkan janji-janji kerajaan pusat di Parlimen Tanjung Piai.

“Mulai hari ini pusat khidmat saya bermula di 2 tempat, Pekan Nanas dan Pontian.

“Paling penting, masalah-masalah PH yang buat janji itu, kami harap kerajaan mesti tunaikan terutama golongan nelayan dan penternak sangkar ikan masin,” katanya. -MalaysiaGazette