Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini (tiga kiri) serta barisan tertinggi Pakatan Harapan bergambar dengan orang ramai yang hadir pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Kukup, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 14 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad memang sudah menjangkakan calon Barisan Nasional (BN) akan memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri dalam kenyataan selepas dua hari Pakatan Harapan (PH) kalah di Tanjung Piai berkata, jangkaannya majoriti kekalahan tidak lebih daripada 2,000 undi.

Namun keputusan rasmi majoriti kekalahan ialah sebanyak 15,086 undi.

“Saya ambil maklum keputusan pilihanraya kecil Parlimen Tanjung Piai yang diadakan baru-baru ini.

“Saya terima keputusan yang dibuat oleh rakyat Tanjung Piai, walaupun sebelum ini sudah menjangkakan bahawa majoriti akan beralih arah ke pihak lawan. Jangkaan saya majoriti kekalahan ini tidak lebih dari 2,000 undi,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan.

Menurutnya, satu post-mortem yang terperinci, serius dan jujur di semua peringkat parti akan dibuat bagi mengenal pasti apakah punca sebenar kekalahan pilihan raya kecil ini.

Beliau turut mengucap terima kasih kepada mereka yang bekerja keras sepanjang pilihan raya kecil tersebut.

Parlimen Tanjung Piai kembali menjadi milik Barisan Nasional apabila calonnya Datuk Seri Wee Jeck Seng memperoleh 25,466 undi, mengalahkan calon Pakatan Harapan, Karmanie Sardini yang meraih 10,380 undi pada PRK baru-baru ini.

BACA: BN menang besar di Tanjung Piai, PH tumbang

PH gagal mempertahankan kerusi yang dimenangi oleh Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada 18 bulan lalu.

Pada PRU-14 Mei tahun lalu, Md Farid, yang juga dari Parti Bersatu Pribumi Malaysia memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru

PRK itu diadakan susulan kematian Md Farid pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung. – MalaysiaGazette