Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meminta Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan berkenaan pertemuannya dengan anggota Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada mesyuarat Biro Politik pada hari Rabu ini.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, berita yang tersebar semalam sudah tentu menimbulkan persoalan dalam kalangan pemimpin PKR.

Disebabkan itu, beliau berharap agar Azmin termasuk semua pemimpin PKR dapat hadir esok untuk membincangkan perkara tersebut.

“Saya ada membaca laporan berita mengatakan sekian tetapi pada waktu ini parti belum menerima apa-apa maklumat rasmi. Saya percaya apabila biro politik mengadakan mesyuarat esok hari, pasti kita akan bincang perkara ini.

“Saya percaya pimpinan banyak tanda tanya dan boleh dirungkai, diperjelaskan apabila kita mengadakan mesyuarat biro politik malam esok.

“Harapan saya semua pimpinan boleh hadir untuk kita dapatkan maklumat penuh apa yang sebenarnya berlaku,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dalam masa yang sama mempertikaikan tujuan pertemuan tersebut, seolah-olah tidak selari dengan tanggungjawab yang perlu digalas Pakatan Harapan (PH) untuk meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat, apatah lagi selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Kalau kita lihat harapan rakyat selepas PRK Tanjung Piai adalah kerajaan Pakatan Harapan yang memperbaiki perkhidmatan dan menyelesaikan masalah rakyat, di samping menunaikan janji manifesto.

“Kalau benar berlaku satu pertemuan pada malam tadi, apakah manifesto yang ingin diselesaikan?” soal beliau.

Malam tadi, Azmin dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan kira-kira 30 Ahli Parlimen BN di kediaman rasminya di Putrajaya.

Dalam pada itu Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak mengulas lanjut sebaliknya hanya berseloroh mengatakan “Eloklah dia pergi mesyuarat kan,”.-MalaysiaGazette