Ketua Jurulatih pasukan Malaysia, Tan Cheng Hoe (dua kanan) bersalaman bersama Jurulatih sementara pasukan Indonesia, Yeyen Tumena (dua kiri) pada sesi sidang media sempena perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, turut serta pemain Malaysia, Shahrul Saad (kanan) dan pemain Indonesia, Yanto Basna (kiri) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Berita baik buat penyokong pasukan Harimau Malaya apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan akan mengadakan tayangan siaran langsung ‘Big Screen’ bertempat di Dataran Merdeka malam ini.

Perkara itu diumumkan oleh DBKL melalui satu perkongsian di Facebook pada hari ini.

“Datuk Bandar Kuala Lumpur telah bersetuju untuk menayangkan perlawanan bolasepak Kelayakan Piala Dunia 2022 /Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Indonesia di ‘Big Screen’ Dataran Merdeka pada 19 November 2019 (Selasa) jam 8:00 malam.

“Ramai-ramai kita penuhkan Dataran Merdeka untuk menzahirkan sokongan anda kepada Harimau Malaya,” ujar kenyataan tersebut.

Bagaimanapun penyokong pasukan negara yang akan ke Dataran Merdeka untuk menyaksikan perlawanan ini diingatkan untuk menjaga kebersihan kawasan tersebut.

Sementara itu, Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi tumpuan pada malam ini untuk perlawanan Malaysia dan Indonesia untuk saingan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Sambutan terhadap perlawanan ini begitu hangat sekali sehingga 85,000 tiket perlawanan sudah habis dijual melalui secara atas talian dua hari sebelum hari perlawanan. – MalaysiaGazette